Zaliha.
Zaliha.
BERNAMA

Putrajaya: Skim Perubatan Madani yang bermula hari ini, sehingga 31 Disember ditawarkan secara automatik kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Menerusi kenyataan hari ini, beliau berkata, penerima STR boleh mendapatkan rawatan menerusi program rintis skim itu di pengamal perubatan swasta umum (GP) yang berdaftar di 10 daerah terpilih.

Ia membabitkan Gombak, Hulu Langat, Klang dan Petaling (Selangor), Kuala Lumpur, Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang), Johor Bahru (Johor), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak).

"Pra-pendaftaran tidak diperlukan untuk menikmati manfaat Skim Perubatan Madani bagi penerima STR dan tanggungannya.

"Mereka hanya perlu membawa kad pengenalan semasa mendapat rawatan di GP yang berdaftar di bawah Skim Perubatan Madani," katanya.

Skim Perubatan Madani adalah inisiatif rintis kerajaan bertujuan untuk menampung keperluan kesihatan golongan B40, terutamanya dalam mendapatkan perkhidmatan penjagaan primer akut atau rawatan pesakit luar kes-kes akut di GP.

Skim itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika pembentangan Belanjawan 2023 Februari lalu dan ia satu daripada inisiatif kerajaan mengatasi isu kesesakan pesakit di kemudahan kesihatan kerajaan.

Dr Zaliha berkata, perkhidmatan percuma yang ditawarkan menerusi skim itu antaranya ialah konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan.

Ia akan diberikan di GP kepada penerima manfaat mengikut pakej yang ditentukan.

Rawatan pesakit luar kes-kes akut percuma yang ditawarkan Skim Perubatan Madani merangkumi rawatan bagi demam selesema, cirit-birit, muntah, terseliuh, sakit kepala, trauma ringan dan pelbagai lagi.

Beliau berkata, pakej rawatan Skim Perubatan Madani tidak merangkumi rawatan bukan akut seperti imunisasi rutin, saringan kesihatan, rawatan susulan penyakit tidak berjangkit (NCD) rutin dan rawatan susulan ibu dan anak rutin.

"Perkhidmatan kesihatan bagi keadaan bukan akut yang tidak ditawarkan Skim Perubatan Madani boleh didapati di Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.

Dr Zaliha berkata, peruntukan bagi setiap isi rumah menerusi skim terbabit adalah sehingga RM250 bagi setiap isi rumah berkeluarga, RM125 bagi warga emas (tanpa pasangan) dan RM75 bagi kategori bujang.

"Penerima manfaat boleh mendapatkan beberapa kali rawatan percuma sehingga peruntukan bagi setiap isi rumah habis," katanya.

Beliau berkata, fasa rintis Skim Perubatan Madani yang dilaksanakan di 10 daerah itu dijangka memberi manfaat kepada 700,000 isi rumah dengan peruntukan RM100 juta.

Beliau berkata, KKM melalui 'ProtectHealth' menyasarkan 700 GP untuk mendaftar sebagai panel Skim Perubatan Madani menjelang September ini.

Maklumat lanjut berkaitan Skim Perubatan Madani, termasuk semakan kelayakan dan senarai klinik panel, boleh didapati di www.protecthealth.com.my/skimperubatanmadani atau hubungi talian 03-8687 2525.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2023 @ 1:19 PM