LAPORAN terdahulu Harian Metro
LAPORAN terdahulu Harian Metro
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Petaling Jaya: Kertas siasatan berhubung kemalangan membunuh tiga penunggang motosikal di Kilometer 19.6 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) arah selatan di Kota Damansara di sini, semalam akan dilengkapkan secepat mungkin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek berusia 26 tahun mengalami patah bahu dan dibebaskan dengan jaminan polis.

"Kita sekarang dalam proses siapkan kertas siasatan dan akan tuduh dalam masa terdekat. Setakat ini berdasarkan hasil ujian kita boleh sahkan kandungan alkohol dalam tubuh suspek (ketika kejadian) berada jauh lebih tinggi daripada kadar dibenarkan.

"Cuaca masa itu pun hujan dan jalan menurun…pemandu berkenaan dipercayai melanggar pembahagi jalan dahulu sebelum merempuh motosikal terbabit," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Semalam Harian Metro melaporkan tiga penunggang motosikal maut manakala tiga lagi parah selepas dirempuh pemandu dipercayai mabuk di Kilometer 19.6 di NKVE.

Kejadian 5.59 pagi itu berlaku ketika cuaca hujan dan kesemua penunggang sedang berteduh di bawah jejambat.

Kemalangan itu mengakibatkan tiga maut dan tiga parah dengan kesemua mereka berusia antara 19 hingga 37 tahun.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 12:26 PM