Penunggang maut selepas motosikal dinaiki dirempuh pemandu mabuk di Jalan Persiaran Lestari Perdana, Seri Kembangan, malam tadi. FOTO INSAN PEMBACA
Penunggang maut selepas motosikal dinaiki dirempuh pemandu mabuk di Jalan Persiaran Lestari Perdana, Seri Kembangan, malam tadi. FOTO INSAN PEMBACA
Raja Noraina Raja Rahim


Serdang: Penunggang lelaki maut selepas motosikal dinaiki dirempuh pemandu pacuan empat roda dipercayai mabuk di Jalan Persiaran Lestari Perdana, Seri Kembangan, malam semalam.

Dalam kejadian jam 9.28 malam, mangsa berusia 22 tahun itu meninggal dunia di lokasi akibat parah di anggota badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, siasatan awal mendapati pemandu Toyota Hilux dari arah Puchong tidak berhenti sebelum memasuki bulatan Jalan Persiaran Lestari Perdana.

"Kenderaan itu kemudian melanggar motosikal Honda EX5 ditunggangi mangsa yang sedang bergerak di bulatan berkenaan menghala ke Seri Kembangan menyebabkan penunggang itu terjatuh dan cedera parah.

"Siasatan juga mendapati pemandu lelaki berusia 51 tahun terbabit bertindak melarikan diri dengan memandu laju, namun berjaya ditahan orang awam yang berjaya mengejarnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, polis yang menerima laporan kejadian bergegas ke lokasi dan menahan suspek berkenaan.

"Ujian pengesanan alkohol didapati suspek berada di bawah pengaruh alkohol melebihi kadar dibenarkan," katanya.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah hingga menyebabkan kematian boleh dipenjara 10 tahun hingga 15 tahun, denda RM50,000 hingga RM100,000 dan hilang kelayakan lesen memandu bagi tempoh 10 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2021 @ 1:45 PM