GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nor Azizah Mokhtar


SEORANG pekerja syarikat kurier maut manakala rakannya parah selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh pemandu mabuk di Kilometer 34.2 Lebuhraya Persekutuan hala ke ibu negara dekat Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, lelaki berusia 42 tahun yang juga pembonceng motosikal meninggal dunia di tempat kejadian dan rakannya yang parah kini dirawat di Zon Merah, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Difahamkan, kedua-dua mangsa adalah rakan sekerja dan tinggal serumah dan mangsa yang meninggal dunia dikatakan baru tiga hari bekerja di sebuah syarikat kurier di Petaling Jaya.

Ketika kejadian, kedua-duanya baru habis bertugas dan dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata hasil siasatan mendapati pemandu kereta berkenaan hilang kawalan dan melanggar motosikal mangsa yang berada di laluan motosikal.

"Pembonceng motosikal, lelaki berusia 42 tahun maut di tempat kejadian manakala penunggang motosikal, lelaki berusia 30 tahun parah dan dikejarkan ke PPUM.

"Pemandu kereta adalah lelaki tempatan yang juga seorang penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi swasta berusia 22 tahun. Dia tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati pemandu terbabit berada di bawah pengaruh alkohol dan menerusi hasil ujian kandungan alkohol yang dijalankan mendapati paras alkohol di dalam tubuhnya tinggi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, Nik Ezanee berkata pihaknya menerusi Op Alkohol akan memperhebatkan lagi usaha mengekang dan membanteras kesalahan membabitkan pengguna jalan raya terutama mereka yang berada di bawah pengaruh alkohol.

"Ini kerana mereka boleh membahayakan keselamatan orang ramai dan boleh mengakibatkan kematian kepada pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 4:21 PM