ANTHONY Loke ketika ditemui di perkarangan Dun Negeri Sembilan di Seremban hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil
ANTHONY Loke ketika ditemui di perkarangan Dun Negeri Sembilan di Seremban hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: DAP menyifatkan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa parti itu menyebar dan mempromosikan Islamofobia sebagai cubaan untuk melaga-lagakan kepemimpinan parti dalam membentuk kerajaan perpaduan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, buat masa ini parti itu mengambil pendirian bersabar, namun akan membuat penjelasan mengenai tuduhan yang dilemparkan pemimpin utama Pas itu.

Katanya, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis tuduhan terbabit berunsurkan fitnah.

"Kenyataan beliau (Tan Sri Abdul Hadi Awang) itu memang dilihat cuba melaga-lagakan DAP, sudah tentu apa yang kita capai sekarang ini, kerajaan perpaduan, mereka nak laga-lagakan.

"Kena bersabar, akan buat penjelasan dan kalau ada apa-apa perkara yang kami rasakan fitnah, kami akan buat laporan polis," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri

Persidangan Keempat (Belanjawan) Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang ke-14 di sini, hari ini.

Semalam, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menerusi satu kenyataan mendakwa DAP bersikap melampau iaitu walaupun cuba menipu dengan menampilkan ahli, calon dan pemimpin daripada wajah Melayu Islam, namun tidak boleh menghalalkan ideologinya yang bercanggah dengan Islam.

Ahli Parlimen Marang itu juga mendakwa DAP sebenarnya menyebarkan fahaman Islamofobia terhadap golongan Bumiputera bukan Islam walaupun pemimpin parti itu pernah memohon maaf terhadap kesilapan lalu.

Sementara itu, Anthony yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chennah berkata, setakat ini tiada perbincangan secara terperinci dilakukan di peringkat Pakatan Harapan (PH) mengenai pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan.

"Setakat ini belum dibincangkan secara terperinci di peringkat PH, sebab Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kena bincang dengan parti-parti berlainan, gabungan lain khususnya Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan itu tidak membabitkan saya.

"(Di peringkat PH) dibincangkan secara am saja, Perdana Menteri akan minta setiap ketua parti untuk bincang apabila beliau bersedia, sebab sekarang ini beliau dengar pandangan dulu.

"(Mengenai portfolio kementerian) memang ada perbincangan, tetapi itu memang (kuasa) prerogatif Perdana Menteri untuk tentukan anggota-anggota jemaah menteri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 3:15 PM