AHMAD Faizal ketika Majlis Sembang Santai Pesanan Menuju PRN Kelantan. FOTO Syaherah Mustafa
AHMAD Faizal ketika Majlis Sembang Santai Pesanan Menuju PRN Kelantan. FOTO Syaherah Mustafa
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu melepaskan sitaan terhadap dua akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas disahkan tiada kertas siasatan dibuka.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya dari awal menyatakan bahawa sumbangan atau dana yang diterima ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bukan daripada syarikat judi.

Katanya, beliau bersyukur kerana akhirnya kebenaran ditunjukkan kepada rakyat malah SPRM sendiri menyatakan bahawa Bersatu tidak menerima sumbangan daripada syarikat judi.

"Oleh itu, sewajarnya akaun Bersatu dibebaskan kerana parti kami tidak menghadapi apa-apa tindakan mahkamah. Parti juga adalah dua entiti berbeza daripada presiden parti yang sedang didakwa.

"Jadi secara logiknya, kenapa akaun parti yang perlu disita dan apa dosa ahli Bersatu dalam masalah ini?

"Tambahan pula, bendera daripada parti lain seperti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) juga tidak kurang banyaknya sepanjang PRU-15, jadi sepatutnya sumbangan yang diperoleh mereka juga perlu dipersoalkan," katanya pada sidang media selepas Majlis Sembang Santai Pesanan Menuju PRN Kelantan di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor.

Media sebelum ini melaporkan, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa dakwaan PN memperoleh dana politik daripada syarikat berkaitan perjudian bagi membiayai perbelanjaan pilihan raya adalah fitnah dan tuduhan serius.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal berkata, Perikatan Nasional (PN) kini dalam proses memuktamadkan pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

"Calon baru juga tidak terkecuali termasuk daripada Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Srikandi Bersatu termasuk mereka yang pernah berkhidmat untuk kerajaan.

"Saya sendiri bangga dengan pengundi muda yang mula bertanggungjawab keluar mengundi dan memilih PN untuk dijadikan kerajaan tetapi nampaknya masih belum berhasil.

"Bagaimanapun, saya percaya anak muda faham dan akan meneruskan perjuangan ini untuk pilihan raya akan datang supaya kita dapat menakluk kerajaan pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 6:55 PM