Nur Izzati Mohamad


Tasek Gelugor: Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyegerakan siasatan akaun milik parti itu yang dibekukan baru-baru ini, supaya gerak kerja dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak terganggu.

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata permohonan sudah dibuat melalui satu surat yang dihantar kepada SPRM melalui peguam yang dilantik Bersatu.

Menurutnya, siasatan perlu ditamatkan dengan segera supaya parti dapat menjalankan kerja-kerja seperti biasa khususnya menjelang PRN di enam negeri tidak lama lagi.

"Kita (Bersatu) yakin kita tidak bersalah (dakwaan ambil wang disyaki daripada hasil haram) dan walaupun siasatan selesai tiada apa yang akan berlaku (akaun bersih) .

"Masalah utama sekarang adalah pembekuan akaun dan kita sudah tulis kepada SPRM dengan memohon supaya siasatan disegera serta ditamatkan supaya kita boleh jalankan kerja-kerja sebagai parti seperti biasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan sekumpulan nelayan bersama Ahli Parlimen Kepala Batas Dr Siti Mastura Muhammad di Jeti Nelayan Padang Benggali, di sini, hari ini.

WAN Saiful pada sidang media di sini, hari ini. FOTO Danial Saad.
WAN Saiful pada sidang media di sini, hari ini. FOTO Danial Saad.

Mengulas lanjut, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, Bersatu memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM apabila menyerahkan semua dokumen yang diperlukan badan itu bagi menjalankan siasatan yang diperlukan.

"Ini apabila semua pegawai parti termasuk diri saya sudah dipanggil (beri keterangan) dan kita sudah beri dokumen diperlukan untuk SPRM menjalankan tugas mereka.

"Kerjasama diberikan sepenuhnya kerana kita yakin lebih cepat siasatan selesai lebih cepat kita dibuktikan tidak melakukan apa-apa kesalahan," katanya.

Sementara itu, Wan Saiful berkata, tindakan membekukan akaun parti itu turut menampakkan kecacatan demokrasi apabila ia dilihat seolah-olah bimbang dengan kemaraan Perikatan Nasional (PN) yang dijangka menang besar di lima negeri dan menawan banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang.

"Kita tahu baru-baru ini dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kumpulan majoriti (gabungan parti) dalam negara beri sokongan adalah kepada PN.

"Jadi bila itu berlaku dan nak hadapi PRN di enam negeri, gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bimbang dengan pengaruh PN.

"Dalam kebimbangan ini Bersatu perlu dilumpuhkan sebab kita bangkit sebagai satu gabungan yang kuat dan sokongan rakan kita lain dari Pas serta Gerakan yang memberi cabaran dan tamparan hebat kepada gabungan kerajaan sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 9:39 PM