MUHYIDDIN Yassin. FOTO Arkib NSTP.
MUHYIDDIN Yassin. FOTO Arkib NSTP.
Muhammad Yusri Muzamir


Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa pelbagai tohmahan tidak berasas dilemparkan ke atas dirinya dan Perikatan Nasional (PN) dibuat berikutan usaha pembunuhan karakter dilakukan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi PN itu antara lain mendakwa tindakan itu dibuat berikutan kegentaran gabungan PH dan BN menghadapi kemaraan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan tohmahan penyelewengan RM600 bilion direka supaya tindakan perundangan boleh diambil terhadap Bersatu, bertujuan melemahkan jentera parti itu sehingga sukar menghadapi PRN akan datang.

Presiden Bersatu itu turut berharap perkara terbabit tidak benar dan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan secara telus dan adil.

"Saya yakin siasatan SPRM setakat ini akan mendapati tohmahan terdapat RM4.5 bilion dalam akaun Bersatu atau saya adalah palsu. Saya tidak pernah mengambil walau satu sen pun wang yang bukan hak saya.

"Sehubungan itu, Bersatu akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam menjalankan siasatan," katanya dalam kenyataan dimuat naik di laman Facebooknya, malam ini.

Sementara itu, Muhyiddin mengakui Bersatu memiliki dana hasil sumbangan pihak yang menyokong perjuangan parti itu, selain akaun diurus secara telus dengan setiap penerimaan dan perbelanjaan direkod, diaudit dan dibentangkan pada Perhimpunan Agung Tahunan mengikut perlembagaan dan Akta Pertubuhan 1966.

Beliau berkata, sumbangan dana pilihan raya juga dimasukkan ke dalam akaun parti, walaupun negara masih belum mempunyai undang-undang pendanaan politik, selain percaya setiap sumbangan diterima Bersatu tidak menyalahi mana-mana undang-undang atau peraturan yang sedang berkuat kuasa.

Mengenai perbelanjaan pilihan raya dikatakan mewah, katanya, sebagai langkah penjimatan, Bersatu mencetak bendera dan barangan PN secara pukal, dua tahun lebih awal dengan kos hampir empat kali ganda lebih murah berbanding jika dicetak hampir tarikh pilihan raya.

"Sebab itulah PN membuat keputusan tidak menukar bendera dan logo digunakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15 )walaupun ada cadangan sedemikian. Ini kerana kita telah menyimpan stok lebih awal.

"Jika hendak dicetak semula, semua stok yang ada akan dibazirkan selain perlu menanggung kos berkali ganda lebih tinggi untuk mencetak bendera dan 'merchandise' yang baharu. PN tiada dana untuk tujuan itu.

"Jadi, janganlah reka cerita palsu dan menabur fitnah kononnya Bersatu mempunyai dana berbilion ringgit semata-mata untuk mencemarkan imej BERSATU dan PN," kata bekas Perdana Menteri itu.

Dalam pada itu, beliau mempersoal motif PH-BN melemparkan tohmahan dan mencari kesalahan PN secara berterusan, termasuk tahanan reman ke atas Timbalan Ketua Bersatu Segambut bagi tujuan siasatan berkaitan dakwaan penyelewengan dana RM92.5 bilion yang turut dikaitkan dengan pihaknya.

"Jawapannya mudah. PH-BN takut dengan bayang-bayang sendiri. Mereka gelisah melihat PN mendapat sokongan sekurang-kurangnya 62 peratus masyarakat Melayu dan Bumiputera pada PRU -15.

"Dengan tindakan BN bergabung dengan PH, sokongan kepada gabungan yang terbentuk atas pembohongan kepada pengundi ini akan lebih merosot, seperti yang terbukti pada PRK Padang Serai dan Tioman," katanya.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan, dakwaan kutipan komisen antara tiga hingga lima peratus daripada perbelanjaan fiskal ketika beliau menerajui kerajaan terdahulu, adalah rekaan.

"Bagaimana saya boleh kutip komisen daripada perbelanjaan ini? Adakah 10.6 juta rakyat yang menerima BPN memberi komisen kepada saya? Adakah 2.96 juta pekerja yang menerima subsidi upah memberi komisen kepada saya? Tentu sekali tidak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 9:18 PM