IBU Pejabat SPRM, Putrajaya. FOTO Aswadi Alias
IBU Pejabat SPRM, Putrajaya. FOTO Aswadi Alias
Safeek Affendy Razali


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membuka kertas siasatan untuk meneliti dokumen yang diterima dalam satu aduan berhubung dakwaan Perikatan Nasional (PN) menerima dana wang judi ketika Pilihan Raya Umum sebelum ini.

Pengarah Kanan Siasatan, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan bahawa siasatan menyeluruh sedang dijalankan termasuk mengenalpasti dan menyiasat latar belakang syarikat-syarikat yang dinyatakan dalam aduan.

Ini berikutan seorang individu tampil membuat laporan kepada SPRM disokong oleh dokumen tertentu pada 30 Mei yang lalu, menggesa siasatan terhadap dakwaan Perikatan Nasional (PN) menerima dana dari syarikat perjudian yang juga digunakan untuk kempen pilihan rayanya.

Individu terbabit, Mohd Rushdan Mohd Yusof, 52, pada Mei lalu menggesa siasatan terhadap dakwaan PN menerima dana daripada syarikat perjudian yang juga digunakan untuk kempen pilihan raya.

Mohd Rushdan, yang menyatakan tidak terbabit dengan mana-mana parti politik menyatakan dia mempunyai bukti dan maklumat yang sudah disalurkan kepada SPRM bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Katanya, bukti itu diterima dari sumber yang boleh dipercayai dan akan disokong dengan beberapa dokumen sulit.

Sebelum ini, Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said menyatakan siasatan SPRM mendapati tiada unsur penerimaan rasuah termasuk sumber dana oleh parti kerajaan ketika itu seperti yang didakwa.

Pada 5 Disember tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang media membayangkan sebahagian dana pilihan raya beberapa parti datang daripada syarikat perjudian yang terbabit dengan cabutan khas judi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 8:17 PM