Komander Pasukan Russian Knights, Lt Kol Alekseev Andrey (empat dari kiri) pada sidang media di pekarangan Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
Komander Pasukan Russian Knights, Lt Kol Alekseev Andrey (empat dari kiri) pada sidang media di pekarangan Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
Oleh Hamzah Osman


Langkawi: Pasukan aerobatik 'Russian Knights' teruja dapat kembali menghiburkan pengunjung menerusi 25 formasi pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA '23) edisi ke-16 kali ini, selepas pameran berprestij itu dibatalkan dua tahun lalu akibat penularan Covid-19.

Komander Pasukan itu, Leftenan Kolonel Alekseev Andrey berkata, pasukan itu berbesar hati dan gembira selepas diundang penganjur untuk kembali beraksi di ruang udara negara ini, khususnya Langkawi bersama empat pasukan aerobatik lain.

"Kami amat berbesar hati untuk kembali membuat persembahan di langit Malaysia selepas mengambil bahagian secara tradisi dalam pertunjukan udara pada LIMA sejak 2013 lalu.

"Kali terakhir beraksi di sini pada 2019, datang kali ini untuk bertemu rakan (aerobatik lain) dan menghiburkan pengunjung," katanya pada sidang media di pekarangan Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini, hari ini.

Alekseev berkata, bagi menyertai LIMA '23 kali ini, pasukannya disertai 75 kru termasuk 10 juruterbang yang berpengalaman mengendalikan jet pejuang SU-35S bagi melakukan pelbagai aksi manuver mendebarkan .

"Bagaimanapun, ketika mengadakan pertunjukan udara, pasukan kami hanya menggunakan enam juruterbang dan sepanjang beraksi, kami melakukan 25 formasi menggunakan jet pejuang SU-35S.

"Sejak tiba di sini, kami dilayan baik, malah seronok melakukan pertunjukan udara di Malaysia," katanya.

Beliau berkata, pertunjukan udara pasukannya dilakukan secara profesional sama seperti pasukan aerobatik 'Black Eagles' dari Korea Selatan, 'Jupiter' (Indonesia), 'August 1st' (China) dan 'Al-Fursan' (UAE).

Black Eagle menerbangkan jet FA-50, Jupiter (KT-1B Wong Bee), August 1st (Chengdu J-10) dan Al-Fursan (Aermacchi MB339A).

"Persembahan pasukan kami di sini bukan kali pertama, namun sebilangan kecil kru dan anggota pasukan ada yang pertama kali jejak kaki ke sini, tapi itu bukan masalah," katanya.

Alekseev turut menyifatkan edisi terbaru LIMA kali ini lebih baik berikutan penyertaan lebih banyak pasukan aerobatik terkenal dari negara lain, walaupun ia mungkin memberi 'sakit kepala' kepada penganjur.

"Ya... bagus pameran udara seperti ini mempunyai banyak mungkin pasukan aerobatik dalam pertunjukan udara, kerana ia pasti menjadikan pameran itu lebih menarik.

"Sudah tentu lebih pening untuk tuan rumah, tetapi kami ingin menyatakan acara ini dianjurkan dengan baik oleh tuan rumah, bukan sahaja untuk pameran tetapi juga untuk pertunjukan udara," katanya.

Menjawab pertanyaan perbezaan antara pesawat SU-30SM yang digunakan pasukannya sebelum ini dengan SU-35S yang digunakan sekarang, Alekseev berkata, SU-35S mempunyai enjin dan sistem radar yang jauh berbeza, selain saiznya lebih panjang.

Untuk rekod, pasukan aerobatik itu mula menerima SU-35S yang pertama pada 2019 bagi menggantikan Su-30SM.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2023 @ 11:07 AM