GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Selangor mencatatkan jumlah penduduk berusia 65 tahun ke atas paling ramai berdasarkan Statistik Subnasional Dewan Undangan Negeri (DUN) 2023.

Kawasan teramai penduduk berusia 65 tahun ke atas adalah Sungai Air Tawar iaitu 25.1 peratus.

Ini diikuti Sekinchan (21.5 peratus) manakala Sabak (20.7 peratus).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), tiga DUN iaitu Kota Iskandar di Johor serta Kota Anggerik dan Bukit Lanjan di Selangor mencatatkan usia pertengahan paling ramai.

Katanya, Kota Iskandar merekodkan jumlah penduduk sebanyak 310,900 orang diikuti Kota Anggerik (294,500 orang) dan Bukit Lanjan (290,500 orang).

"Manakala dua DUN di Pulau Pinang merekodkan jumlah penduduk terendah iaitu di Padang Kota (5,900) dan Komtar (7,800).

"Selain itu, statistik yang diterbitkan hari ini turut memaparkan DUN yang mempunyai kepadatan penduduk tertinggi merujuk kepada bilangan penduduk dalam setiap kilometer persegi.

"DUN Pengkalan Kota di Pulau Pinang mencatatkan kepadatan penduduk tertinggi dengan jumlah 21,061 orang dalam setiap kilometer persegi, diikuti Pandan Indah dengan jumlah 14,686 orang dan Sungai Pinang dengan jumlah 13,851 orang dalam setiap kilometer persegi," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, tiga DUN yang mempunyai keluasan terbesar adalah Baleh, Sarawak dengan keluasan sebanyak 11,607 kilometer persegi, diikuti Belaga, Sarawak dengan keluasan sebanyak 11,579 kilometer persegi dan Kuamut di Sabah dengan keluasan sebanyak 10,954 kilometer persegi.

Ini turut menjadikan Baleh dan Belaga sebagai DUN dengan kepadatan penduduk terendah iaitu seorang bagi setiap kilometer persegi.

Statistik Subnasional DUN juga memaparkan komposisi penduduk mengikut kumpulan etnik.

Pada 2022, kumpulan etnik Bumiputera menjadi kumpulan etnik tertinggi di tiga DUN di Terengganu iaitu Manir sebanyak 99.9 peratus, manakala Permaisuri dan Langkap serta satu DUN di Perlis iaitu Santan masing-masing merekodkan sebanyak 99.8 peratus kumpulan etnik Bumiputera.

Manakala kumpulan etnik Cina pula mendominasi DUN Batu Lancang, Pulau Pinang dengan 85.2 peratus, Pasir Pinji, Perak dengan 81.3 peratus dan Pelawan, Sarawak dengan 81.1 peratus.

Kumpulan etnik India pula mendominasi DUN Buntong, Perak dengan 49.6 peratus, Sentosa, Selangor dengan 38.0 peratus dan Jalong, Perak dengan 30.7 peratus.

Pelbagai statistik terpilih di peringkat parlimen dan DUN yang terdiri daripada maklumat asas, penduduk, perumahan, guna tenaga, pendapatan isi rumah, pendidikan, kesihatan, kemiskinan, keselamatan awam, Internet dan media sosial, kemudahan asas dan bilangan pertubuhan dan syarikat perniagaan boleh dirujuk dalam penerbitan Statistik Subnasional DUN 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 2:23 PM