Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Hampir separuh penduduk Johor adalah generasi muda atau belia yang mewakili sebanyak 45.1 peratus daripada jumlah 4.0 juta penduduk keseluruhan negeri itu, tahun lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, golongan belia itu berusia antara 15 hingga 40 tahun.

"Jumlah generasi muda atau belia di Johor adalah 1.80 juta atau 45.1 peratus, hampir separuh daripada jumlah keseluruhan rakyat negeri ini yang mencatatkan jumlah 4.0 juta.

MOHD Uzir (tiga dari kanan) melihat buku Statistik Subnasional Parlimen dan DUN. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
MOHD Uzir (tiga dari kanan) melihat buku Statistik Subnasional Parlimen dan DUN. FOTO Nur Aisyah Mazalan.

"Berikutan peratusan orang muda yang tinggi di Johor kita ramalkan pertumbuhan ekonomi negeri ini akan mencatatkan peningkatan lebih tinggi dengan sumbangan sektor pekerjaan yang disertai golongan itu selain kadar perbelanjaan dan pendapatan mereka.

"Daerah Johor Bahru menjadi tempat tumpuan utama yang menawarkan peluang pekerjaan bagi golongan muda terutama dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan.

"Sektor perkhidmatan pula menyediakan pekerjaan sebanyak 60 peratus kepada penduduk bekerja di Johor manakala sektor pembuatan menyumbang kepada 24.1 peratus pada tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan taklimat pada Penemuan Subnasional Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), Banci Penduduk & Perumahan Johor serta Prestasi Ekonomi Johor 2021 di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, Kadar Penyertaan Tenaga Buruh siswazah Johor turut mencatatkan peningkatan 85.3 peratus pada 2020, berbanding 84.2 peratus tahun sebelumnya.

"Tenaga buruh dalam kalangan siswazah lelaki bagi Johor mencatatkan 229,7000 siswazah berbanding 187,600 siswazah perempuan," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, DUN Senai merekodkan peratus umur bekerja (15 hingga 64 tahun) tertinggi iaitu 80.1 peratus.

Katanya, ia diikuti DUN Parit Raja 79.1 peratus, Bukit Naning 76.1 peratus dan Bukit Pasir 75.2 peratus.

"Nisbah tanggungan yang tertinggi di antara DUN pula dicatatkan di DUN Rengit 55.5 peratus, Sedili 53.6 peratus dan di Johor Lama 52.9 peratus.

"Sementara, komposisi penduduk umur tua iaitu 65 tahun dan lebih di Johor adalah pada 6.1 peratus iaitu lebih rendah berbanding nasional pada 6.8 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 4:25 PM