MUHAMMAD Hawari Hashim. FOTO arkib NSTP
MUHAMMAD Hawari Hashim. FOTO arkib NSTP
Zuhainy Zulkiffli

Kepala Batas: Jabatan Seni Budaya dan Sukan (DACS) Dewan Pemuda Pas mengadakan solat hajat malam ini memohon keselamatan Pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023), Muhammad Hawari Hashim, 33, yang hilang selepas misi menawan puncak tertinggi dunia itu, kelmarin.

Unit Penerangan dan Media Baharu DACS dalam muat naik di Facebook hari ini berkata, solat hajat akan diadakan di Masjid Kampung Banggol, Pokok Sena di sini, selepas solat Isyak malam ini.

Katanya, orang ramai dijemput menyertai solat hajat berkenaan bagi memohon kesejahteraan dan keselamatan Muhammad Hawari yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran itu.

"Semalam, kita menerima berita duka ahli Kelab Explorasi Altitud (ATC), Muhammad Hawari hilang ketika mendaki gunung Everest dan beliau adalah OKU Pendengaran yang menyertai Misi Malaysia Everest 2023 yang dianjurkan ATC.

"DACS ingin menjemput semua yang prihatin dan semua kelab di bawah DACS supaya datang ke Masjid Kampung Banggol, malam ini bagi sama-sama mengadakan solat hajat untuk mendoakan kebaikan beliau," katanya menerusi hantaran itu.

Anak jati Permatang Kerai Besar, Tasek Gelugor berkenaan memulakan perjalanan ke Nepal pada 1 April sehingga 11 Jun 2023 dalam misi menawan puncak Everest.

Muhammad Hawari dipercayai turun dan berehat di kem empat selepas berjaya menawan puncak Everest pada 8,848 meter dari paras laut dan berita kehilangannya sudah dilapor media tempatan Nepal.

"DACS amat bersimpati dan memohon kepada semua rakyat Malaysia bagi sama-sama mendoakan kebaikan buat Muhammad Hawari dan berharap semoga beliau dijumpai secepat mungkin dalam keadaan selamat," katanya lagi.

Terdahulu media melaporkan usaha pencarian sedang giat dijalankan termasuk menyampaikan maklumat kehilangan Hawari ke semua kem.

Terdahulu, seorang pendaki ME 2023 yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Awang Askandar, 56, meninggal dunia Jumaat lalu ketika dalam misi menawan puncak Everest.

Awang Askandar yang dilaporkan berhadapan masalah kesihatan selepas tidak dapat meneruskan misi menawan Everest ketika berada di paras 8,000 meter dari aras laut, meninggal dunia di kem empat pada 10.30 pagi waktu Nepal (12.45 waktu Malaysia) pada Khamis.

Berita berkaitan:

Pendaki ME 2023 hilang selepas tawan puncak Everest

Pencarian pendaki Everest hilang giat dilaksana

Kali terakhir Hawari dapat dihubungi selepas berjaya tawan puncak Everest

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 10:34 AM