OBJEK yang dikesan melalui dron menyerupi jasad Hawari di Kem Dua dan Kem Tiga di kawasan pergunungan Everest. FOTO Ihsan ME2023
OBJEK yang dikesan melalui dron menyerupi jasad Hawari di Kem Dua dan Kem Tiga di kawasan pergunungan Everest. FOTO Ihsan ME2023
Nur Izzati Mohamad


Tasek Gelugor: Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama terus menitipkan doa dan kata-kata semangat buat keluarga peserta Malaysia Everest 2023( ME2023), Muhammad Hawari Hashim, 33 yang hilang di puncak tertinggi itu hampir sebulan lalu.

Doa dan kata-kata semangat itu diungkapkan menerusi beberapa platform media sosial selepas membaca perkembangan berita berhubung kehilangan pendaki Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran berkenaan.

Isteri kepada Muhammad Hawari, Saffiyah Tang Xie Lie, 34, turut dilihat berkongsi beberapa siaran berita mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR) suaminya melalui Facebook (FB) miliknya 'Saffiyah Muslimah' yang perkongsian itu mendapat perhatian ramai.

Ketika ini, ramai pihak memohon supaya keluarga itu diberikan kesabaran dan berharap pendaki berkenaan dapat ditemui segera dalam apa jua sekali pun.

Semakan di laman sosial FB milik ibu Muhammad Hawari, Che Tom Hassan, 64, mendapati kesemua hantaran yang dimuat naik beberapa hari lalu berkisar saat kebahagiaan bersama anak lelakinya itu.

Che Tom turut meluahkan rasa rindu terhadap anaknya apabila memuat naik sekeping gambar yang diambil bersama Muhammad Hawari, menantu dan dua cucunya.

Semalam, ME2023 dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa operasi SAR Muhammad Hawari akan bersambung tahun depan.

Ketua Misi ME2023, Azim AfifIshak dilaporkan berkata, pihaknya sudah menjalankan operasi SAR bermula 19 Mei sehingga 15 Jun namun belum menemui sebarang petunjuk.

Muhammad Hawari dilaporkan hilang sejak 19 Mei lalu selepas keluar meninggalkan Kem Empat pada aras ketinggian 8,000 meter dari aras laut.

Sehari sebelum itu, Muhammad Hawari dilaporkan berjaya menawan puncak Everest.

Berita berkaitan:

3 andaian kehilangan Hawari - Ketua Misi ME2023

Operasi SAR cari Hawari tamat

'Saya tidak akan lupa senyuman Muhammad Hawari' - Pendaki Singapura

Video terakhir Muhammad Hawari

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2023 @ 3:29 PM