ALLAHYARHAM Awang Askandar (kiri), Muhammad Hawari, Zeng, Azim Afif, Ayu Wanirah dan Ling Yang (belakang) ketika bertemu di EBC baru-baru ini. FOTO Ihsan Facebook
ALLAHYARHAM Awang Askandar (kiri), Muhammad Hawari, Zeng, Azim Afif, Ayu Wanirah dan Ling Yang (belakang) ketika bertemu di EBC baru-baru ini. FOTO Ihsan Facebook
Samadi Ahmad

Putrajaya: "Saya berharap keajaiban berlaku dan Muhammad Hawari dapat ditemukan," kata pendaki wanita warga Singapura, Vincere Zeng.

Zeng, 40-an, peminat sukan lasak yang berjaya menawan puncak Everest berkongsi detik manis dan pengalamannya di Facebook (FB) semasa bertemu pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) ketika misi pendakian ke puncak tertinggi dunia itu, baru-baru ini.

Menurutnya, kenangan menziarahi khemah ME2023 di Everest Base Camp (EBC) masih tidak dilupakannya dan senyuman Muhammad Hawari sentiasa dalam ingatan kerana beliau seorang yang sangat baik.

Zeng berkata, ketika berada di khemah, Muhammad Hawari menawarkan makanan tempatan yang dibawa dari Malaysia dan mempelawa makan bersama.

Katanya, dia sangat teruja berjumpa Muhammad Hawari dari golongan Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran dan sempat bertanyakan khabar semua pendaki ME2023.

"Semasa misi pendakian ke puncak ketika melepasi Kem Satu ke Kem Dua, saya sekali lagi bertemu dengan Muhammad Hawari dan beliau sempat melemparkan senyum.

"Pergerakannya sangat pantas, bertenaga serta bersemangat tinggi untuk menawan puncak Everest," katanya.

Zeng berkata, berita kehilangan Muhammad Hawari dan kematian Awang Askandar Ampuan Yaacub dimaklumkan oleh rakan pendaki ME2023, Tiong Ling Yang.

Menurutnya, selepas turun dari kawasan pergunungan Everest dan pulang ke negaranya, kenangan bertemu Muhammad Hawari sering bermain di fikirannya.

Dia sedih menerima berita kehilangan Muhammad Hawari dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) juga semakin singkat selepas pihak berkuasa Nepal memberi ihsan selama lima hari.

Katanya, dia sangat berharap agar Muhammad Hawari masih selamat dan menemui jalan pulang.

Muhammad Hawari, 33, dilaporkan hilang pada 19 Mei lalu selepas berjaya menawan puncak Everest pada 18 Mei jam 3.30 petang waktu Nepal dan 5.45 petang waktu tempatan.

Sehingga hari ini kehilangan Muhammad Hawari memasuki hari ke-16 dan setakat ini operasi SAR masih menemui jalan buntu.

Bermula semalam dua dron berteknologi tinggi digunakan sebagai inisiatif pencarian selepas pihak berkuasa Nepal memberikan ihsan lima hari bagi meneruskan operasi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2023 @ 10:40 AM