Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahaya
Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahaya
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Putrajaya: Gelombang rasuah kini berkembang kepada struktur lebih kompleks membabitkan sindiket lebih besar terutama jenayah berisiko tinggi seperti penipuan, pengedaran dadah, rasuah dan penyeludupan, pengelakan duti kastam dan eksais serta jenayah terancang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, gejala rasuah membabitkan pelbagai jenayah kian berleluasa kini dan dilakukan secara maya merentasi sempadan negara.

"Antara penipuan siber terkenal termasuklah penipuan tawaran pinjaman, pembiayaan, penipuan Macau, penipuan percintaan dan penipuan pewaris harta atau wang.

"Sepanjang tahun 2022, jenayah siber di negara ini merekodkan kerugian hampir RM600 juta sekaligus mencapai tahap serius," katanya pada program Private Public Partnership (PPP) & Compliance Networking Group (CONG) yang diadakan di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat SPRM di sini, semalam.

Program anjuran Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM itu turut dihadiri Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin.

Beliau berkata, kebergantungan kepada teknologi membawa kepada pelbagai cabaran baharu apabila lebih ramai individu di dunia termasuklah rakyat Malaysia menggunakan kemudahan dalam talian untuk perbankan, pelaburan dan menjalankan urus niaga dengan jabatan kerajaan. Ini membuka ruang untuk jenayah penipuan dijalankan termasuk di media sosial.

"Sebagai contoh berlakunya jenayah penipuan pelaburan yang dijalankan di Malaysia oleh sindiket berpangkalan di Australia.

"Pada Februari lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menjalankan operasi bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang turut membabitkan beberapa agensi lain seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Cyber Security Malaysia, Telekom Malaysia (TM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dinamakan sebagai operasi 'OPS TROPICANA'," katanya.

Menurutnya, selain kerjasama antara agensi di Malaysia, SPRM turut mendapat bantuan daripada National Crime Agency (NCA) yang berpangkalan di United Kingdom yang membekalkan maklumat dan bantuan perhubungan dengan agensi penguatkuasa di Hong Kong, Thailand serta pengesanan aset dan jejak wang di United Kingdom dan sekitar Eropah.

"Kerjasama antara pelbagai agensi ini merupakan salah satu cara untuk pihak berkuasa menangani jenayah penipuan yang turut berkait dengan jenayah rasuah serta pengubahan wang haram hasil daripada aktiviti haram yang dijalankan.

"Hasil kerjasama ini membuahkan kejayaan apabila sindiket penipuan pelaburan berjaya ditumpaskan dan mendapat liputan meluas di dalam dan juga di luar negara," katanya.

Menurutnya, hasil operasi itu, 14 individu terdiri daripada warganegara Malaysia, British dan Filipina ditahan SPRM manakala 21 pengendali ditahan JIM.

"Kes ini menunjukkan wujudnya pemudahcara profesional yang membolehkan dan memudahkan sindiket scammer antarabangsa ini untuk melakukan operasi jenayah penipuan mereka," katanya.

Tambah beliau, terdapat beberapa pemacu risiko utama menjadikan jenayah kewangan dan pengubahan wang haram semakin rumit dan sofistikated.

"Pemacu risiko utama ini bukan sahaja memudahkan kegiatan jenayah malah menambahkan lagi cabaran kepada agensi penguatkuasaan untuk mengambil tindakan pantas bagi menangani jenayah itu.

"Dalam konteks ini, antaranya adalah pemudah cara atau penggerak profesional (professional enablers) iaitu individu, organisasi atau rangkaian profesional yang berperanan sebagai pengawal akses kepada sistem kewangan,"

Ahmad Khusairi menambah, pengawal akses ini mempunyai pengetahuan dan kepakaran yang khusus untuk mengenalpasti dan mengeksploitasi sebarang peluang sama ada dengan niat, bersubahat atau tidak disengajakan bagi tujuan menjalankan kegiatan jenayah kewangan dan pengubahan wang haram.

"Pemudah cara profesional ini digolongkan sebagai DNFBP (Designated Non-Financial Business And Professions) di mana ianya tidak terhad kepada peguam, akauntan dan setiausaha syarikat sahaja.

"Penglibatan pemudah cara ini dalam jenayah kewangan semakin meningkat dengan ketara sejak kebelakangan ini.

"Dalam pada itu, selari dengan pembangunan teknologi di seluruh dunia, halangan dan kekangan dalam menangani jenayah rasuah juga semakin sukar," katanya.

Program anjuran AML SPRM itu dihadiri 100 wakil agensi daripada Bank Negara Malaysia, Malaysian Association of Money Services Businesses (MAMSB), Malaysian Institute of Chartered Secretaries and Administrators (MAICSA), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Enforcement Leadership and Management University dan Malaysian Institutes of Accountants (MIA).

Menerusi program ini, SPRM turut berkongsi maklumat, pengetahuan serta kemajuan terhadap kes disiasat oleh AML SPRM antaranya menerusi Ops Tropicana yang disampaikan oleh Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya SPRM, Mohamad Faizal Sadri dan Ops Medic oleh Penolong Pesuruhjaya Ku Hamidi Ku Halim.

caption

Pix 1; DATUK Sri Ahmad Khusairi Yahaya pada Program Bersama Compliance Officers Networking Group (Cong) anjuran Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Pix 2: PESERTA yang menghadiri Program Bersama Compliance Officers Networking Group (Cong) anjuran Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 8:46 AM