Empat penjawat awam dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk perintah tahanan reman kerana disyaki menerima rasualh lebih RM5 juta daripada sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak secara haram melalui pintu masuk negara. FOTO IHSAN SPRM
Empat penjawat awam dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk perintah tahanan reman kerana disyaki menerima rasualh lebih RM5 juta daripada sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak secara haram melalui pintu masuk negara. FOTO IHSAN SPRM
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman empat penjawat awam serta masih mengesan seorang lagi kerana disyaki menerima rasuah lebih RM5 juta daripada sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak secara haram melalui pintu masuk negara.

Perintah reman selama empat hari bermula hari ini, sehingga 15 Mac ini terhadap kesemua suspek dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Menurut sumber, keempat-empat suspek lelaki berusia 40-an hingga 50-an ditahan di sekitar Lembah Klang antara jam 11.30 pagi hingga 4 petang semalam, dalam operasi khas dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

"Dalam operasi yang dijalankan ini, SPRM menahan lapan individu termasuk empat penjawat awam yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket berkenaan sejak tahun 2018 hingga 2023.

"Setakat ini sindiket terbabit dipercayai menyebabkan ketirisan hasil cukai yang dianggarkan kira-kira RM400 juta dan memberi wang rasuah lebih RM8 juta kepada beberapa individu termasuk penjawat awam bagi menyeludup tembakau kunyah, rokok, arak serta beberapa barangan lain," katanya.

Susulan operasi ini, AML SPRM turut merampas pelbagai barangan seperti telefon bimbit, komputer riba, komputer peribadi, wang tunai, rumah dan kereta yang dianggarkan bernilai hampir RM6 juta.

Selain itu, SPRM turut membekukan 237 akaun bank membabitkan wang berjumlah kira-kira RM12 juta.

"Sindiket ini dipercayai menggunakan modus operandi dengan menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol dengan mereka.

"Selain itu, sindiket ini juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan 'syarikat hantu', melalui pengurup wang dan syarikat pinjaman wang berlesen," katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman empat suspek terbabit dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, SPRM juga akan memohon reman terhadap beberapa lagi suspek yang ditahan di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2024 @ 5:20 PM