TANGKAP layar video yang mendapat reaksi positif cef selebriti Britain, Gordon Ramsay.
TANGKAP layar video yang mendapat reaksi positif cef selebriti Britain, Gordon Ramsay.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Perkongsian video pempengaruh media sosial, Khairul Aming mengenai cara penyediaan pencuci mulut puding kukus gula hangus mendapat reaksi positif daripada cef selebriti Britain, Gordon Ramsay.

Ramsay menerusi video duet di TikTok meluahkan rasa kagum dengan kaedah Khairul menyediakan resipi pencuci mulut berkenaan.

Menerusi video itu, Khairul Aming menyatakan hidangan disediakan itu adalah daripada resipi buku masakan Ramsay bertajuk Uncharted, terbitan National Geographic.

Ramsay memuji teknik memasak Khairul yang menarik dan juga secara berseloroh mengulas mengenai saiz sudu Khairul, menyebut bahawa dia mungkin perlu memberinya sudu baru sempena Krismas nanti.

"Itu sudu kecil!" katanya merujuk kepada sudu kayu kecil yang digunakan Khairul dalam video itu.

Ramsay juga apabila melihat hasil hidangan Khairul Aming kerana mengikut teknik dalam buku Uncharted.

"Saya akan berada di Malaysia minggu depan dan saya akan tunjukkan sekali lagi. Tahniah," kata Ramsay dalam video duet itu.

Dalam video berasingan, Khairul Aming menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan atas pujian diberikan oleh cef selebriti terkenal itu.

Khairul Aming berkata, dia hanya menyedari video reaksi itu selepas menerima notifikasi daripada pengikutnya.

"Gordon Ramsay noticed (nampak) video kita. Thank you (terima kasih) Gordon Ramsay," tulisnya menerusi kapsyen pada video dimuat naik di TikTok.

Di akhir video, Khairul Aming berseloroh menyatakan dia akan menghadiahkan sambalnya kepada cef berkenaan.

"Oh, datang ke Malaysia nanti saya bagi sambal," katanya.

Video itu mendapat reaksi positif dan pujian bukan hanya daripada pengikut namun selebriti tanah air yang menganggap Khairul Aming sudah membanggakan negara.

"Yay, kami rakyat Malaysia berbangga dengan kamu," tulis pengguna TikTok dikenali Erin Yahya.

"Dunia beri laluan kepada seorang lagi anak Malaysia," tulis pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi di IG.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2023 @ 3:15 PM