STUART Ramalingam. FOTO OWEE AH CHUN
STUART Ramalingam. FOTO OWEE AH CHUN
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengakui bahawa tempoh saingan Liga Super 2024/2025 yang agak panjang memberi banyak kelebihan kepada pasukan untuk lebih bersedia menghadapi setiap perlawanan dan menambah sumber pendapatan mereka kelak.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam kebanyakan perlawanan Liga Super akan beraksi pada hujung minggu sekali gus memberi peluang dan peluang kepada penyokong setiap pasukan untuk hadir ke stadium bagi memberi sokongan kepada pasukan masing-masing.

Beliau berkata, situasi terbabit sekali gus akan menambah pendapatan pasukan membabitkan penjualan tiket selain turut memastikan barisan pemain mempunyai tempoh rehat mencukupi untuk mengharungi setiap perlawanan Liga Super.

"Kita akui musim ini saingan Liga Super agak panjang dari Mei tahun ini hingga April 2025 namun ia sebenarnya mempunyai pro dan kontra dalam pelaksanaan jadual itu.

"Setiap perlawanan akan beraksi pada hujung minggu sekali gus membantu pasukan untuk menambah pendapatan menerusi kehadiran penyokong ke stadium..

"Perkara ini akan menambah kehangatan Liga Super walaupun menghadapi pelbagai cabaran dalam tempoh berkenaan," katanya.

Mengikut rekod, saingan Liga Super sudah pun bermula minggu lalu membabitkan 13 pasukan dengan perlawanan akan berlangsung pada hujung minggu sekali gus memudahkan penyokong untuk hadir ke stadium.

Selain itu, Stuart berkata, permulaan saingan Liga Super sudah pastinya akan menghadapi banyak cabaran terutamanya membabitkan penggunaan video bantuan pengadil (VAR) dan venue berikutan kekerapan musim hujan ketika ini.

"Kita cuba tangani masalah membabitkan cuaca iaitu musim hujan terutamanya pada hujung tahun ini. Pada masa sama, menjangkakan akan ada masalah teknikal membabitkan penggunaan VAR,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 2:44 PM