ANIS pupuk bakat memasak sejak kecil lagi.   FOTO: Khairul Azhar Ahmad
ANIS pupuk bakat memasak sejak kecil lagi. FOTO: Khairul Azhar Ahmad
Norhayati Nordin

Bidang kulinari atau masakan kini bagaikan didominasi golongan lelaki. Namun, di sebaliknya ramai juga wanita yang bergelar cef.

Namun, untuk cef selebriti wanita ada beberapa nama yang cukup dikenali. Salah satunya, sudah tentu Cef Anis Nabilah Umaruddin.

Diam tak diam, sudah 13 tahun Cef Anis membina namanya sebagai cef selebriti. Malah, banyak juga program masakan sudah dikendalikannya.

Menurut wanita berusia 34 tahun ini, minat dan bakatnya dalam bidang kulinari sudah dipupuk sejak kecil lagi kerana suka masuk dapur.

"Saya sudah mula cuba-cuba memasak sejak kanak-kanak. Aktiviti masuk dapur untuk masak adalah perkara yang sangat digemari.

"Bagi saya, memasak adalah terapi diri yang sangat positif. Malah, lebih menjadikan saya puas dapat membuat eksperimen pada makanan.

"Saya juga sangat memberi keutamaan pada menu makanan sihat. Jadi, saya pastikan dapat menghasilkan hidangan enak tetapi berkhasiat," katanya.

Berbicara juga impiannya dalam bidang masakan, Anis tidak berselindung memberitahu memang hasratnya nak mengajar orang lain memasak.

"Macam yang pernah saya katakan, aktiviti memasak selalu buat saya berasa gembira. Saya jadi amat seronok apabila dapat berkongsi resipi.

"Ditambah, resipi yang saya hasilkan itu kebanyakannya agak senang untuk dimasak oleh mereka yang kurang mahir di dapur," katanya.

Menurut Anis lagi, pada era teknologi pada masa kini semestinya memasak menjadi proses lebih mudah kerana pelbagai produk perkakas dapur moden dan terbaik diperkenalkan.

"Cuma, kena tanya diri saja nak masak atau tidak. Apapun, selama lebih sedekad aktif dalam kulinari ini saya juga ada hasilkan buku masakan.

"Alhamdulillah, sambutan untuk buku masakan saya sangat menggalakkan dan terima kasih kepada pembeli yang memberi sokongan," katanya.

Cef Anis yang juga kakak kepada pelakon Aisya Hasnaa berkata, dia juga tak pernah terfikir untuk mengembangkan bakat dalam lakonan dan nyanyian.

"Selama ini, saya berasa puas menjadi cef. Ditambah, dapat mengajar orang lain memasak ia adalah komitmen utama saya.

"Apatah lagi, saya juga tidak mengejar populariti. Pembabitan sebagai cef selebriti memberi peluang saya mengumpul banyak pengalaman daripada bawah," katanya.

Mengulas juga impian bertemu cef idola, Anis berkata, dia teringin mahu bersua dengan cef terkenal seperti Jimmy Oliver dan Gordon Ramsay yang dikaguminya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 6:20 AM