PEMPENGARUH media sosial, Khairul Aming memberi reaksi susulan teguran diterima daripada seorang pakar perubatan menerusi perkongsian video di TikTok miliknya.
PEMPENGARUH media sosial, Khairul Aming memberi reaksi susulan teguran diterima daripada seorang pakar perubatan menerusi perkongsian video di TikTok miliknya.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: "Anda boleh buat pilihan sendiri bila nak pilih makanan. Kalau saya ubah resipi tu (itu) dan jadi kurang sedap, orang cuba tak sedap, dia (mereka yang mencuba) akan maki saya balik.

"Jadi, saya tak boleh menang, saya tak boleh puaskan hati semua orang," luah pempengaruh media sosial, Khairul Aming.

Khairul Aming memberi reaksi itu menerusi video dimuat naik di TikTok miliknya susulan teguran dibuat oleh seorang pakar perubatan yang menasihatinya untuk mengurangkan penggunaan minyak dalam masakan.

Menurut Khairul Aming, dia menerima banyak maklum balas daripada netizen susulan teguran berkenaan namun menerima semua pandangan dengan hati yang terbuka.

"Ada yang kata okay, teruskan memasak dengan cara saya, ada yang kata membahayakan dan boleh merudumkan kesihatan negara.

"Pertama sekali, terima kasih atas semua pandangan dan saya sangat bersetuju kesihatan adalah yang paling utama dan memang kita patut jaga kesihatan," katanya dalam video berkenaan.

Bagaimanapun, Khairul Aming menjelaskan kaedah ditunjukkan dalam video masakan adalah realiti sebenar cara penyediaan sesuatu makanan.

"Boleh buat semua tu, kurangkan minyak, kita boleh tukar resipi, boleh tukar bahan cuma (makanan) akan jadi tak sedap macam yang asal, itu je sebenarnya.

"Kalau kita nak sambal sedap, kita kena masak dalam minyak banyak supaya pecah minyak, kalau nak ayam goreng rangup kena 'deep fried' dalam minyak banyak, kalau nak 'mac and cheese' (makaroni keju) tak boleh kurangkan keju nanti tak sedap.

"Alasan nak tunjuk guna berapa sudu gula adalah nak tunjuk realiti, kalau tak biasa masak, tak rasa bersalah sangat tapi bila tunjuk nampak banyaknya dan sekurang-kurangnya anda akan sedar," katanya.

Menurut Khairul Aming, terpulang kepada mereka yang mencuba untuk mengubah atau mengurangkan penggunaan bahan tertentu mengikut citarasa masing-masing.

Dia juga berharap isu yang tular itu tidak berlarutan dan punca perbalahan dalam kalangan netizen.

"Dalam Malaysia ini, suka atau tidak, tak semua orang diet dan jaga makan.

"Kalau nak ubah resipi, tukar bahan boleh tiada masalah nak buat ikut selera masing-masing. Ini bulan Ramadan, harap tiada gaduh-gaduh dalam bulan yang mulia ini.

"Saya ucapkan selamat berpuasa kepada semua, tolong jaga kesihatan, jangan lupa bersenam dan yang paling penting, jaga kuantiti (makanan).

Terdahulu, tular di Twitter apabila seorang pakar perubatan menasihati Khairul Aming untuk mengurangkan penggunaan minyak dalam masakan dan memperbanyakkan resipi masakan yang sihat.

Beliau gusar penggunaan minyak masak yang banyak mampu mempengaruhi kesihatan masyarakat negara ini yang rata-rata mengikuti perkembangan Khairul Aming menerusi video masakan 30 hari, 30 resipi bersempena bulan Ramadan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 4:35 PM