RUJI Ubi bersama Acryl Sani melakukan pemeriksaan ke atas rumah yang sedia didiami oleh anggota polis di Balai Polis Inanam serta anggota polis di IPD Kota Kinabalu. FOTO Juwan Ridua
RUJI Ubi bersama Acryl Sani melakukan pemeriksaan ke atas rumah yang sedia didiami oleh anggota polis di Balai Polis Inanam serta anggota polis di IPD Kota Kinabalu. FOTO Juwan Ridua
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah menerima RM32.215 juta yang akan diperuntukkan untuk penyelenggaraan kuarters daif pasukan itu.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Ruji Ubi berkata, jumlah itu sebahagian daripada peruntukkan RM98.715 juta yang diterima PDRM tahun ini.

Katanya, kerajaan bersetuju meluluskan kos pembaikan kuarters dan sebagainya bagi menjamin kebajikan anggota penguat kuasa dan unit beruniform di bawah KDN yang keseluruhannya berjumlah RM200 juta.

"Pembaikan ini membabitkan kuarters PDRM yang daif termasuklah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Daerah (IPD), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin (PPM).

"Saya akan pastikan peruntukkan sebanyak RM98 juta ini dapat dibelanjakan pada tahun ini khususnya bagi memberikan keselesaan anggota dan keluarga masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Perumahan Balai Polis Inanam, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Datuk Seri Sahabudin Abd Manan, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Hazani Ghazali dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.

Pada majlis itu, sebanyak 102 unit kuarters masing-masing dua unit Kelas E dan 100 unit Kelas F, dewan serbaguna, tadika dan taska serta bangunan sokongan lain diserahkan dan boleh didiami untuk kegunaan anggota polis di Balai Polis Inanam serta anggota di IPD Kota Kinabalu.

Menurutnya, kemudahan berkenaan mampu memberikan keselesaan kepada anggota polis dalam melaksanakan tugas dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Sementara itu, ditanya sama ada KDN akan melaksanakan penyelenggaraan perumahan Jabatan Penjara Malaysia Negeri Sabah yang sudah usang, Ruji berkata, perkara berkenaan dalam perhatian dan dimaklumkan kepada Jabatan Penjara Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 1:01 PM