ABDUL Hamid (dua kanan) bersama Jamil Rakon (tengah) menyerahkan replika kunci pada Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Penggantian Lif di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur. FOTO Facebook PDRM
ABDUL Hamid (dua kanan) bersama Jamil Rakon (tengah) menyerahkan replika kunci pada Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Penggantian Lif di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur. FOTO Facebook PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menerima peruntukan sebanyak RM100 juta bagi pembaikan dan penggantian 201 lif di pejabat serta kuarters seluruh negara menerusi Rolling Plan Keempat (RP4) tahun lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya turut menerima RM22 juta dalam RP4 tahun ini untuk menggantikan 41 lif lagi yang rosak.

“Kerja-kerja pembaikan dan penggantian daripada kontraktor yang dilantik menerusi penilaian dan kelulusan Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah disegerakan dan dijangka siap sepenuhnya tidak lama lagi selewat-lewatnya akhir tahun ini.

“Bagi penggantian 41 lif itu, ia masih dalam proses penyediaan dokumen untuk ditenderkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) yang menjadikan projek ini utama untuk diselesaikan segera,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Penggantian Lif di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Jamil Rakon dan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Kamaluddin Abdul Rashid.

Abdul Hamid berkata, PULAPOL diminta melantik kontraktor penyelenggaraan yang kompeten sebaik sahaja tempoh Defect Liability Period (DLP) tamat supaya ia dapat diselenggara tanpa ketirisan dan sentiasa berada dalam keadaan baik.

“Ini penting kerana kebanyakan kerosakan lif sebelum ini dikenal pasti berpunca daripada kegagalannya tidak diselenggara secara berkala mengikut tempoh ditetapkan.

“Sebaik kerja penggantian dan pembaikan lif selesai di seluruh negara, kedua-dua kuarters polis di PULAPOL serta Perumahan Balai Polis Pantai akan menerima peruntukan masing-masing berjumlah RM6.2 juta dan RM1.5 juta untuk pembaikan kuarters,” katanya.

Beliau berkata, kerja pembaikan itu membabitkan pendawaian elektrik, pembaikan semula bumbung, bilik air, sistem bekalan air serta sisa kumbahan yang dijangka siap sepenuhnya pada Januari dan April tahun depan.

“Dengan pemberian peruntukan ini, aspek kebajikan yang banyak ditekankan sebelum ini akhirnya berjaya membela nasib warga PDRM.

“Semua pihak terutama jawatankuasa perumahan serta penghuni kuarters dapat berganding bahu menjaga kemudahan disediakan serta memantau aktiviti tidak bertanggungjawab seperti vandalisme,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 6:31 PM