ANWAR Ibrahim (kanan) memakaikan pingat Anugerah Juara Integriti kepada penerima pada sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur hari ini. FOTO Bernama
ANWAR Ibrahim (kanan) memakaikan pingat Anugerah Juara Integriti kepada penerima pada sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur hari ini. FOTO Bernama
Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menerima bangunan baharu Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di beberapa negeri.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, negeri yang akan menerima IPK baharu adalah Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Pahang.

Menurutnya, projek ini juga membabitkan peruntukan lama dan projek sambungan serta ada juga peruntukan baharu yang diumumkan sebelum ini.

"Kita juga akan ada bangunan IPD baharu bakal menyusul iaitu IPD Kapit dan IPD Padang Besar di mana ia ada senarai yang ditentukan Jabatan Logistik Bukit Aman yang kemudian akan dibentangkan dalam pelan strategik.

"Cabaran saya, KSU (Ketua Setiausaha) dan Ketua Polis Negara berkaitan aspek kebajikan polis dalam meningkatkan keselesaan balai polis, kemudian di IPD, premis atau logistik pasukan barisan hadapan," katanya pada sidang media Sambutan Peringatan Hari Polis ke-217 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, tahun lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) berjaya menyiapkan 151 pos Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Perlis ke Sabah dengan bajet RM45 juta selain berjaya menyelesaikan pejabat dan tempat tinggal anggota Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dengan bajet RM40 juta.

"Pembaikan dan naik taraf kuarters anggota juga sedang berlangsung di seluruh negara dengan peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini sebanyak RM500 juta yang dikongsi bersama Mindef.

"KDN menerima peruntukan RM200 juta di mana polis sahaja mendapat RM98 juta dengan proses ini (naik taraf) masih berterusan bagi meningkatkan keadaan tempat kerja serta tempat tinggal lebih kondusif sekali gus menyemarakkan motivasi kerja anggota," katanya.

Beliau berkata, KDN akan berusaha sedaya upaya memastikan semua perancangan polis berjalan sesuai dengan rencana atau garis masa ditetapkan meliputi semua perkara kebajikan logistik dan keupayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 12:55 PM