Gambar hiasan
Gambar hiasan
Muhammad Zulsyaini Sufian Suri

Kuala Kangsar: Suami isteri diburu polis selepas dipercayai melarikan diri susulan penemuan mayat rakan serumah mereka dalam tangki najis sebuah rumah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, mayat lelaki warga Indonesia dianggarkan berusia 40-an itu ditemukan dalam keadaan masih berkain sarung dan seluar.

Katanya, pihaknya menerima maklumat mengenai mayat itu pada 12.20 tengah malam dan hasil bedah siasat dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, hari ini mendapati punca kematian akibat trauma tumpul di kepala.

"Pihak polis sedang mengesan sepasang suami isteri yang tinggal serumah dengan si mati bagi membantu siasatan. Mereka sudah melarikan diri dan dipercayai terbabit dalam kes ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar di talian 05-7762222 atau pegawai penyiasat kes Asisten Superintendan Mohd Subkey Alias 013-9285436.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 6:54 PM