PASUKAN bomba menjalankan operasi SAR di lokasi mangsa dilaporkan jatuh di Jeti Sepanggar. FOTO Ihsan Bomba
PASUKAN bomba menjalankan operasi SAR di lokasi mangsa dilaporkan jatuh di Jeti Sepanggar. FOTO Ihsan Bomba
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika memancing di Jeti Sepanggar dekat Chemical Industry, di sini, petang tadi.

Mangsa Anuar Abd Hakim, 26, dikatakan masuk ke kawasan berkenaan tanpa pengetahuan dan memancing ikan di atas sebuah tongkang sebelum jatuh ke dalam laut dan tidak timbul.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.53 petang.

Katanya, seramai 16 pegawai dan anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digerakkan ke tempat kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar kawasan mangsa dilaporkan jatuh.

"Operasi SAR dijalankan di pesisir pantai melalui kaedah surface water rescue bersama Unit PPDA Zon Kota Kinabalu," katanya, hari ini.

Menurutnya, setakat ini mangsa masih belum ditemui dan operasi ditangguhkan pada 8.26 malam.

"Pencarian akan disambung pada pagi esok dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 12:06 AM