ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemui pada kedalaman tiga meter di kawasan mangsa dilaporkan jatuh. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemui pada kedalaman tiga meter di kawasan mangsa dilaporkan jatuh. FOTO Ihsan JBPM
Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Lelaki yang dilaporkan hilang ketika memancing di laut di Jeti Sepanggar dekat Chemical Industry, di sini, ditemukan lemas, hari ini.

Mayat mangsa berusia 26 tahun ditemui Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada kedalaman tiga meter di kawasan laut berkenaan, kira-kira 10.38 pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada 7.35 pagi dengan pencarian di permukaan.

"Mangsa berjaya ditemui oleh PPDA pada kedalaman tiga meter di kawasan mangsa dilaporkan jatuh. Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, di sini.

Lelaki terbabit dikhuatiri lemas ketika memancing di laut di Jeti Sepanggar, dekat Chemical Industry, di sini, semalam.

Mangsa dikatakan masuk ke kawasan jeti terbabit tanpa pengetahuan dan memancing di atas sebuah tongkang sebelum terjatuh ke dalam laut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 3:17 PM