REMAJA ditemui lemas di Sungai Empangan Milau, Kudat. FOTO Ihsan Bomba.
REMAJA ditemui lemas di Sungai Empangan Milau, Kudat. FOTO Ihsan Bomba.
Juwan Riduan


Kudat: Remaja lelaki lemas, manakala empat lagi rakannya berjaya diselamatkan dalam kejadian di Sungai Empangan Milau, Jalan Garau, di sini, hari ini.

Mangsa dikenali Ryan, 16, bersama empat rakannya dipercayai ke tempat berkenaan untuk memancing, namun berenang ke kawasan beting pasir di tengah sungai berjarak kira-kira 50 meter dari tebing.

Difahamkan, ketika berenang ke lokasi berkenaan mangsa tenggelam dan lemas akibat kepenatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Penolong Penguasa Bomba Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.01 petang dan sepasukan 11 anggota dan pegawai serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke tempat kejadian.

"Setibanya pasukan, empat mangsa lelaki berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung.

"Pasukan seterusnya menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

"Pencarian turut dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon Kudat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pada 5.40 petang, mangsa ditemui tidak jauh dari lokasi dilapor hilang dan pengecaman dilakukan ahli keluarga sebelum mayat diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2024 @ 9:39 PM