ANGGOTA bomba melakukan pencarian lelaki yang hilang dipercayai dibaham buaya di Kota Belud. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA bomba melakukan pencarian lelaki yang hilang dipercayai dibaham buaya di Kota Belud. FOTO Ihsan Bomba.
Juwan Riduan


Kota Belud: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki yang hilang disyaki dibaham buaya ketika memancing di Jeti Mantanani Paradise Kilapi, Kampung Rampaian Laut, di sini minggu lalu, ditamatkan hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, SAR mangsa memasuki hari kelapan dengan kawasan pencarian mencapai 40 kilometer (km) pagi tadi.

Katanya, SAR dijalankan pasukan penyelamat terdiri daripada JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan penduduk kampung.

"Pencarian dengan bot dan aset lain di kawasan paya bakau, pemantauan udara serta pemantauan di pesisir pantai.

"Mangsa masih gagal ditemui dan hasil perbincangan dengan semua agensi yang diketuai Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintendan Shahrudin Mat Husain, maka diputuskan operasi SAR sehingga hari kelapan ditamatkan 5 petang tadi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, operasi akan dijalankan semula jika mendapat petunjuk baru, selain keluarga mangsa juga sudah diterangkan mengenai keseluruhan operasi dan penamatannya.

Dalam kejadian 11.26 malam, 22 Sep lalu, Yusri Dulpi, 20, dilapor dibaham buaya di kawasan jeti itu dan saksi mendakwa melihat mangsa disambar buaya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 9:34 PM