PASUKAN bomba mencari seorang lelaki dikhuatiri lemas di Pantai Batu Layar. FOTO Ihsan Bomba Johor
PASUKAN bomba mencari seorang lelaki dikhuatiri lemas di Pantai Batu Layar. FOTO Ihsan Bomba Johor
Nurul Amanina Suhaini


Kota Tinggi: Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika beriadah di Pantai Batu Layar, dekat sini, petang hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sebana Cove Penolong Penguasa Bomba Khairul Sufian Dahari berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan 4.35 petang tadi, seramai sembilan anggota dari BBP Punggai, Penawar dan Sebana Cove digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, maklumat awal diterima pihaknya, mangsa dikenali sebagai Ahmad Sirajuden Muner Azmi, 24, yang beralamat di Segamat, Johor, didapati hilang ketika beriadah di pantai.

"Mangsa dipercayai datang berdua dengan rakannya di pantai awam ini. Dipercayai mangsa tenggelam kira-kira 100 meter dari pesisir pantai.

"Pihak bomba menjalankan surface searching di pesisir pantai sepanjang 400 meter daripada lokasi mangsa dilaporkan hilang," katanya katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut dibantu orang awam dan nelayan tempatan.

"Ahli keluarga mangsa sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu," katanya.

Sementara itu, rakan mangsa dan saksi ketika dihampiri wartawan kelihatan gementar dan tidak berada dalam keadaan stabil untuk menceritakan detik kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 11:17 PM