Datuk Bandar  Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh hadir pada majlis ramah mesra rumah terbuka Masjid Bilal Bin Rabah. FOTO ROHANIS SHUKRI
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh hadir pada majlis ramah mesra rumah terbuka Masjid Bilal Bin Rabah. FOTO ROHANIS SHUKRI
Redzuan Muharam


Gombak: Penganjuran Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Masjid Bilal bin Rabah di sini, bukan saja mendapat sambutan kariah dari lima taman sekitarnya malah turut menyantuni dan menarik penduduk bukan Islam.

Penduduk Taman Koperasi Fasa 1, Yam Wai Peng, 72, menyambut baik penganjuran berkenaan kerana turut mengundang penduduk bukan Muslim meraikan Aidilfitri.

"Sebelum ini ada program begini tetapi terhenti selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kali ini, ia dianjurkan semula dan bagus sebenarnya kerana penduduk berbilang bangsa dapat duduk semeja dan makan bersama.

"Terima kasih kepada pihak masjid atas undangannya," katanya yang juga ibu kepada empat anak.

Penduduk Taman Koperasi Polis, K Rajendran, 60, juga berterima kasih kepada pihak masjid kerana tidak meminggirkan bukan Muslim dalam meraikan sambutan Aidilfitri kali ini.

"Kebiasaannya, jiran terdekat memang kongsi hidangan kepada saya sekeluarga setiap kali hari raya.

"Kali ini, masjid pula buat sambutan besar-besaran dan memang bagus kerana dapat berkumpul bersama.

"Bukan selalu dapat peluang begini dan ia tunjukkan perpaduan kita semua sebagai rakyat Malaysia," katanya.

Seorang lagi penduduk, Leong Kip Min, 38, teruja dapat hadir ke program berkenaan kerana berpeluang merasai pelbagai hidangan enak disediakan pihak masjid.

"Saya tinggal dalam kejiranan penduduk yang majoritinya Melayu. Jadi, sudah biasa bergaul dengan mereka dan tiada masalah nak datang program anjuran masjid.

"Semoga program seperti ini dianjurkan lagi pada masa akan datang," katanya.

Terdahulu lebih 5,000 penduduk hadir memeriahkan sambutan yang pertama kali diadakan selepas terhalang akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Pengerusi Masjid Bilal Bin Rabah, Abdul Hafidz Abdul Manas berkata, program yang diadakan di perkarangan Masjid Bilal Bin Rabah itu istimewa kerana turut mengundang penduduk bukan Muslim untuk hadir menjamu selera serta memeriahkan majlis.

Menurutnya, ia dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Pentadbiran Zon Dua Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

"Penduduk yang hadir ke program ini adalah kariah masjid dari lima taman iaitu Taman Koperasi Polis Fasa 2, Taman Changkat Desa, Taman Rowther, Taman Melewar dan Taman Karak.

"Selain meraikan Aidilfitri, majlis dianjurkan bagi mengeratkan silaturahim dan perpaduan selain memupuk semangat kerjasama dalam kalangan penduduk berbilang bangsa serta agama.

"Kita juga ambil kesempatan menerusi penganjuran majlis untuk berkongsi peranan masjid kepada masyarakat supaya mereka tahu apa inisiatif masjid.

"Oleh kerana kita mengundang penduduk bukan Muslim maka kita sediakan juga kiosk makanan daripada sumber tumbuh-tumbuhan (vegetarian) bagi memberi pilihan buat mereka," katanya ketika ditemui Harian Metro selepas berucap pada majlis yang disempurnakan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh.

Hadir sama, Pegawai Tadbir Agama Zon Dua Jawi, Mohd Abd Nasir Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 1:38 PM