Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kanak-kanak Palestin sepatutnya bergembira seperti rakan seusia seluruh dunia dengan memakai baju baharu sempena sambutan lebaran Aidilfitri dan menandakan berakhirnya Ramadan tahun ini.

Sekurang-kurangnya, hari ini mereka sepatutnya sedang berpelukan merayakan hari mulia umat Islam bersama keluarga di rumah.

Namun, tentera zionis Israel memusnahkan harapan mereka dengan bertindak melampaui batas dan mengebom serta meningkatkan serangan udara terhadap insan tidak berdosa sejak Isnin.

Aktivis dan penulis bebas di Gaza, Hamza Deirawi berkata, pertempuran berlaku di hampir setiap inci tanah warga Palestin yang bertindak balas terhadap serangan zionis.

PENDUDUK Palestin menjalankan solat Aidilfitri di perkarangan bangunan runtuh. FOTO AFP
PENDUDUK Palestin menjalankan solat Aidilfitri di perkarangan bangunan runtuh. FOTO AFP

Katanya, walaupun kemusnahan jelas kelihatan di muka bumi Gaza seperti dilanda tsunami dengan jalan rosak umpama kawah akibat pengeboman zionis, namun takbir terus berkumandang di bumi anbia itu.

Penduduk Muslim tidak gentar untuk bertakbir bagi meraikan Aidilfitri dan gema takbir kedengaran sepanjang jalan menuju ke masjid.

Setakat 10 pagi tadi, katanya, 69 orang awam Palestin terbunuh dalam tindakan agresif zionis di Semenanjung Gaza.

Mangsa yang syahid termasuk 17 kanak-kanak, tujuh wanita dan warga emas selain 388 orang awam dilaporkan cedera.

Jumaat lalu, serangan rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin dan jemaah di Masjid Al-Aqsa turut menyebabkan kematian dan kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Mei 2021 @ 2:42 PM