GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hazira Ahmad Zaidi


MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) hanya membenarkan jemaah tidak melebihi 12 orang mendirikan solat Jumaat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok.

Yang Dipertuanya yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, individu berkenaan terdiri imam tua, imam muda, bilal, siak dan ahli jawatankuasa masjid.

Menurutnya, perkara berkenaan mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam Negeri sebagaimana peruntukan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

"Pelaksanaan solat Jumaat di Kelantan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan ianya dapat dilaksanakan secara terkawal sebagai langkah membendung penularan Covid-19.

"Bagaimanapun, pelaksanaannya mestilah mengikut prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana garis panduan disediakan oleh MAIK dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, antara SOP perlu dipatuhi ialah memeriksa suhu badan pegawai dan ahli jawatankuasa yang hadir di mana mereka yang mempunyai bacaan suhu melebihi 37.40 selsius tidak dibenarkan memasuki masjid.

"Semua pegawai dan ahli jawatankuasa yang hadir ke masjid perlu memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan sosial satu meter antara jemaah dan perlu merekodkan kehadiran di dalam buku kehadiran.

"Bagaimanapun, bagi mereka yang bergejala seperti batuk, demam, selsema dan sakit tekak tidak dibenarkan hadir selain ahli jawatankuasa yang berusia 70 tahun ke atas," katanya.

Katanya, bagi memastikan kebersihan, penyediaan cecair pembasmi kuman disediakan di pintu utama untuk kegunaan pegawai serta jawatankuasa ketika masuk dan keluar dari masjid.

"Mereka juga diingatkan membawa sejadah sendiri serta mengambil wuduk dari rumah masing-masing sebelum ke masjid dan meninggalkan ruang solat selepas selesai menunaikan solat Jumaat.

"Pihak kami mengambil semua langkah yang perlu agar tiada jemaah Iain selain pegawai dan jawatankuasa masjid yang hadir serta memastikan khutbah dan solat Jumaat diselesaikan dalam tempoh 20 minit selepas azan Jumaat," katanya.

Menurutnya, berikutan itu orang ramai dinasihatkan menunaikan solat lima waktu dan solat sunat Aidilfitri di rumah masing-masing bersama ahli keluarga.

"Selain itu, orang ramai juga tidak digalakkan untuk menziarahi pusara pada Aidilfitri ini, dan kami amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam melaksanakan ketetapan ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 8:56 PM