BELIA  yang hadir menyertai program Lepak Geng Utagha di Masjid Darul Murtadha. FOTO Ihsan  Yayasan Murtadha Berhad
BELIA yang hadir menyertai program Lepak Geng Utagha di Masjid Darul Murtadha. FOTO Ihsan Yayasan Murtadha Berhad
Redzuan Muharam


Sungai Petani: Bagi menarik minat anak muda mendekati masjid, Yayasan Murtadha Berhad menganjurkan program Lepak Geng Utagha di Masjid Darul Murtadha dekat Pusat Dakwah Murtadha, di sini.

Program julung kali diadakan itu bertujuan memberi pendedahan kepada golongan muda sekitar Kedah untuk mencorak kehidupan yang positif dengan membabitkan diri dalam aktiviti riadah yang berfaedah.

Pengasas Yayasan Murtadha Berhad, Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusof berkata, matlamat lainnya adalah memberi pendedahan kepada anak muda dengan kerja kebajikan yang dapat memperkasakan bangsa, agama dan negara.

"Antara program yang boleh disertai seperti pertandingan bola sepak Liga Sepak Penalti dan sukan elektronik dikenali Madad E-Football 23 Mobile.

"Bagi mendekatkan anak muda dengan majlis ilmu, peserta diajak untuk turut serta dalam kuliah Dhuha sebelum program bermula.

"Sesi kuliah itu menampilkan barisan tokoh agamawan popular seperti Ustaz Firdaus Firabid, Ustaz Ahmad Yusof, Ustaz Abdullah Khairi dan penampilan khas bekas pemain bola sepak profesional kebangsaan Malaysia, Baddrol Bakhtiar," katanya.

Tambah Mohammad Yaakub, program itu juga inisiatif Masjid Darul Murtadha iaitu pusat sehenti (one stop centre) yang bukan sahaja berfungsi sebagai rumah ibadat tetapi juga diperluaskan kepada pelbagai aktiviti kemasyarakatan merangkumi aspek kesihatan sesuai kehendak lapisan masyarakat terutamanya golongan muda.

"Di samping itu, ia adalah kesinambungan penubuhan Kelab Budak Masjid yang ditubuhkan bagi mendekatkan anak muda ke masjid.

"Menerusi program itu, Yayasan Murtadha Berhad memberikan wang saguhati kepada anak muda yang hadir untuk solat berjemaah di masjid.

"Masjid Darul Murtadha juga mengambil iktibar daripada zaman Rasulullah yang memperluaskan peranan masjid kepada pusat aktiviti masyarakat dalam usaha mengeratkan ukhwah penduduk setempat," katanya.

Mohamad Yaakub berkata, beberapa lagi usaha untuk dilakukan bagi menarik kehadiran orang ramai ke masjid.

"Antaranya adalah dengan menyediakan hotel kapsul sebagai kemudahan buat musafir untuk berteduh sebelum memulakan perjalanan mereka.

"Kemudahan lain adalah taman permainan kanak-kanak bagi menggalakkan anak-anak dan ibu bapa mengunjungi masjid.

"Usaha itu seiring dengan hala tuju Masjid Darul Murtadha yang menjadi sebahagian projek pembangunan Murtadha Dakwah Centre meliputi pembangunan rumah warga emas, kompleks tahfiz integrasi dan stadium e-sukan, hub sukan sunnah serta penyediaan khidmat pengurusan jenazah yang dilakukan secara percuma," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 9:30 PM