MAYAT remaja dibawa ke Hospital Teluk Intan bagi dibedah siasat. FOTO  ihsan Bomba
MAYAT remaja dibawa ke Hospital Teluk Intan bagi dibedah siasat. FOTO ihsan Bomba
Muhamad Lokman Khairi


Teluk Intan: Remaja lelaki yang hilang sejak petang semalam ditemukan lemas di Sungai Perak.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mayat mangsa, 14, dijumpai oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR), 4.45 petang tadi.

"Mayat mangsa dijumpai terapung 60 meter dari jeti tempat mangsa disyaki jatuh ke dalam Sungai Perak.

"Pengecaman mayat dibuat oleh bapa sendiri.

"Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan, 5 petang tadi untuk post mortem bagi mengetahui punca kematian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, mangsa dikenali V Johnson, 14, dikhuatiri lemas apabila orang kampung menemui beg dan pakaian berdekatan Jeti Kampung Terengganu, di sini, semalam.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (JBPM) Negeri Perak, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, operasi SAR ditamatkan 5.20 petang tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 5:53 PM