PAIP PVC yang dijadikan meriam buatan dengan alat IED. FOTO Ihsan Polis.
PAIP PVC yang dijadikan meriam buatan dengan alat IED. FOTO Ihsan Polis.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Dua daripada lima suspek kes letupan meriam buatan sendiri menggunakan paip PVC dekat kedai di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama, di sini minggu lalu akan dituduh di mahkamah, esok.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya mendapat arahan untuk menuduh dua suspek itu mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957.

"Pertuduhan akan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, manakala tiga lagi suspek akan dijadikan saksi pendakwaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebelum ini polis menahan lima individu berusia 32 tahun hingga 60 tahun dalam beberapa siri serbuan di sekitar Sentul pada 5 Mei lalu.

Katanya, mereka ditahan susulan laporan kejadian mengenai letupan itu pada 6 pagi, 2 Mei lalu daripada seorang pengawal keselamatan berusia 27 tahun.

"Pengawal keselamatan itu memaklumkan berlaku letupan kecil di hadapan kedai yang terletak di Tiara Mutiara 1 Off Jalan Puchong, Jalan Klang Lama.

"Siasatan lanjut di lokasi kejadian, polis menjumpai tiga paip PVC warna putih yang diubah suai menjadi bahan letupan. Turut dijumpai alat bahan letupan buatan sendiri (IED) dengan kawalan jauh.

"Siasatan mendapati semua suspek diupah oleh pihak lain untuk melakukan perbuatan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 9:47 PM