Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Polis menahan kekasih berusia 34 dan 42 tahun kerana disyaki terbabit dalam kes mengedar dadah dan bahan letupan buatan sendiri di sebuah rumah di Taman Minamah, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan (SPS) di sini Rabu lalu.

Serbuan jam 11 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (IPDSPS) di rumah sewa didiami pasangan berkenaan hasil maklumat awam diterima.

Ketua Polis Negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, pihaknya menemui pelbagai jenis dadah termasuk ketamin, heroin, syabu dan 22 biji pil ecstacy termasuk acuan tekanan yang digunakan untuk membuat pil, alat penimbang dan penukul.

Beliau berkata, nilai rampasan dadah itu dianggarkan RM3,200 dan polis juga turut merampas pelbagai bahan letupan buatan sendiri termasuk alat kawalan jauh, transmeter, kotak suis, alatan pencair logam, lapan butir peluru senapang patah.

"Turut dirampas sebatang paip polivinil klorida (PVC) sepanjang 2.656 meter dan sebilah kerambit dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun atau 10 sebatan.

"Siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 12:36 PM
Datuk Chuah Ghee Lye (tiga dari kiri) menunjukkan rampasan barang letupan dalam satu serbuan pada sebuah rumah di Taman Minamah, Nibong Tebal.  FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Datuk Chuah Ghee Lye (tiga dari kiri) menunjukkan rampasan barang letupan dalam satu serbuan pada sebuah rumah di Taman Minamah, Nibong Tebal. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal