Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Berang dengan tindakan seorang lelaki yang mengambil gambar gerainya di Pasar Pagi OUG, di sini, semalam, seorang peniaga bertindak menendang individu berkenaan.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya mengesan sebuah video berdurasi 45 saat dirakam orang awam yang tular melalui satu pautan Facebook berhubung kejadian itu yang berlaku 10.45 pagi, semalam.

"Mangsa iaitu lelaki berusia 58 tahun mendakwa dicederakan oleh suspek yang berusia 53 tahun. Ia kerana dia mengambil gambar tapak niaga milik peniaga berkenaan sebagai bukti bahawa berlaku ketidakpatuhan syarat lesen perniagaan.

"Suspek dikatakan mendirikan tapak niaga melebihi jumlah tapak yang dibenarkan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Suspek yang tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang mengambil gambar itu bertindak menyerang dan menendang lelaki berkenaan di bahagian belakang badan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amihizam berkata, mangsa mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) susulan kejadian itu.

"Kami mengambil keterangan lelaki terbabit serta isterinya berusia 48 tahun bagi membantu siasatan.

"Semakan dilakukan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan cedera dengan sengaja," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan tindakan di luar kawalan yang boleh mendatangkan kecederaan dan ketakutan kepada mana-mana pihak.

"Spekulasi berkaitan video ini perlu dihentikan sehingga penyiasatan pihak polis selesai dijalankan.

"Maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

FOTO daripada video tular memaparkan peniaga terbabit didakwa menendang seorang lelaki.
FOTO daripada video tular memaparkan peniaga terbabit didakwa menendang seorang lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 8:58 AM