Herrynizam tiba di Kedutaan Malaysia di Bangkok, Thailand. FOTO IHSAN HERRYNIZAM SALEH
Herrynizam tiba di Kedutaan Malaysia di Bangkok, Thailand. FOTO IHSAN HERRYNIZAM SALEH
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Herrynizam Saleh yang berstatus orang kurang upaya (OKU) kudung tangan kiri yang sedang melakukan misi berjalan kaki secara solo untuk menunaikan haji di Makkah, tahun ini tidak mahu melayan komen negatif segelintir warganet yang mempertikaikan misinya itu.

Herrynizam, 42, berkata, dia menyedari ada komen berbaur negatif terhadapnya termasuk mendakwa dia mengharapkan bantuan untuk melakukan misi itu selain ada turut tidak percaya dengan hasratnya.

Bagaimanapun katanya, dia bersyukur masih ramai individu yang memberi sokongan kepadanya untuk melakukan misi itu dengan kudrat dan tenaganya biarpun ia bukan sesuatu yang mudah.

"Saya ada baca semua komen (apabila berhenti berehat) termasuk ada yang kata saya kutip dana untuk misi dilakukan itu. Saya tidak meminta tetapi jika ada yang bermurah hati dan menyumbang saya terima dengan terbuka, bukannya meminta-minta.

"Kalau betul saya mahu kutip sumbangan daripada orang ramai lebih baik saya kumpul dulu barulah berjalan. Saya tidak perlu tidur di masjid atau tepi jalan, lebih baik tidur di hotel yang lebih selesa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, dia juga mendakwa tidak mengetahui individu yang membuat 'poster' dengan meletakkan nombor akaunnya untuk tujuan sumbangan, namun menganggapnya individu berkenaan hanya mahu membantunya merealisasikan misi itu.

"Duit dalam akaun juga masih duit saya dan ada juga yang memberi sumbangan ketika terjumpa di tepi jalan dan berterima kasih untuk itu.

"Allah SWT tahu niat saya. Saya percaya kalau niat kita betul segala urusan akan dipermudahkan oleh itu saya abaikan saja semua itu kerana kalau terlalu fikir boleh menjejaskan jiwa dan perjalanan," katanya.

Menurut Herrynizam, dia sudah bertemu dengan kakitangan pejabat Kedutaan Malaysia di Bangkok, hari ini biarpun sudah tiba di bandar raya itu sejak semalam, kerana cuti umum.

Katanya, dia kini dalam perjalanan ke sempadan Thailand-Laos sebelum ke China atas nasihat pihak kedutaan demi keselamatannya kerana situasi di sempadan Myanmar tidak begitu baik.

"Sekarang saya dalam perjalanan ke Laos dan agak jauh juga jaraknya, mungkin lewat petang baru tiba di sempadan," katanya berharap orang ramai terus mendoakan kesihatan dan perjalanannya lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 4:20 PM