HERRYNIZAM sudah berada di Laos dan berhenti rehat di sebuah kawasan di negara itu, semalam sebelum memulakan perjalanan ke sempadan Laos-China, pagi ini. FOTO ihsan Herrynizam Saleh
HERRYNIZAM sudah berada di Laos dan berhenti rehat di sebuah kawasan di negara itu, semalam sebelum memulakan perjalanan ke sempadan Laos-China, pagi ini. FOTO ihsan Herrynizam Saleh
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Herrynizam Saleh, lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) kudung tangan kiri yang melakukan misi berjalan secara solo untuk menunaikan haji di Makkah mengakui pernah menumpang kenderaan dalam misinya itu.

Herrynizam ketika dihubungi Harian Metro, hari ini, menjelaskan individu yang menumpangkan dia adalah lelaki warga Thailand ketika dia berada di Songkla menuju ke Bangkok.

Bagaimanapun, Herrynizam, 42, tidak mahu orang ramai salah faham dengan perkara itu kerana dia tidak meminta untuk menumpang sebaliknya lelaki itu bersungguh-sungguh mahu menumpangkannya sejauh 80 kilometer (km).

Selain itu, dia turut mengakui ada seorang anggota polis turut menumpangkannya sejauh dua kilometer ke sempadan Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kedah atas faktor keselamatan.

"Saya diberi tumpang oleh lelaki berkenaan selepas membantunya mengangkat bakul sayur yang jatuh terbalik di jalan. Dia bersungguh-sungguh mahu menumpangkan biarpun sudah ditolak beberapa kali.

"Saya memang tidak akan tahan kenderaan untuk meminta tumpang tetapi apabila yang berulang kali mahu tumpangkan seperti itu, saya (terpaksa juga) terima dan selepas itu memang saya berjalan saja.

"Kalau saya sendiri yang tahan dan tanya (untuk meminta tumpang) itu yang tidak boleh," katanya yang kini berada di Laos dan dalam perjalanan ke sempadan Laos-China yang bermula pagi tadi.

Herrynizam memberi reaksi itu berhubung persoalan segelintir netizen yang mempertikaikan tempoh masanya yang hanya berjalan kaki, dianggap agak cepat untuk lelaki itu tiba di Laos.

Menurutnya, jangkaannya tiba di kawasan sempadan dua negara itu lewat senja ini kerana ia mengambil masa lebih lama dengan berjalan berbanding dengan kenderaan hanya tujuh jam.

"Cuaca ketika ini panas dan dalam perjalanan saya membawa dua botol air mineral. Alhamdulillah, kesihatan juga baik dan setiap kali bangun tidur saya akan rasa lebih bersemangat biarpun masih jauh lagi perjalanan. Rasa seperti tak boleh lambat.

"Di Laos saya menumpang tidur di Masjid Azhar dan bersyukur imam masjid itu beri nasi, telur serta daging seperti dimasak rendang kering yang mana itulah nasi pertama saya sejak misi ini sebelum ini makan buah, biskut dan kurma saja.

"Semalam tidak dapat ke pejabat Kedutaan Malaysia di Laos kerana cuti Wesak cuma berhubung melalui telefon saja (dengan kakitangan pejabat kedutaan)," katanya.

Katanya, dia masih perlu menempuh laluan ribuan kilometer lagi membabitkan beberapa negara seperti China, India, Nepal, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum tiba ke lokasi akhir di Makkah, Arab Saudi.

"Mungkin tempoh hari untuk perjalanan saya akan bertambah sedikit daripada 90 hari seperti dijangka sebelum ini kerana melalui laluan lain disebabkan tidak melalui sempadan Myanmar sebelum ini.

"Perjalanan di China juga nanti mungkin lebih lama (negara berkenaan lebih besar) boleh menjangkau masa sebulan tetapi akan cuba sampai sebelum musim haji nanti," katanya.

Berhubung visa untuk menunaikan haji, Herrynizam mengakui masih belum mempunyainya, namun dia mendakwa akan menguruskannya di Kedutaan Malaysia di China.

Biarpun berdepan risiko tidak dibenarkan untuk menunaikan rukun Islam kelima itu, pemuda asal Pulau Pangkor yang menetap di Teluk Intan itu berserah kepada Allah SWT dan berharap semua urusan untuk ke Tanah Suci dipermudahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2023 @ 2:55 PM