MOTOSIKAL ditunggang mangsa yang terbabit kemalangan dengan kereta dan lori. FOTO Ihsan Polis.
MOTOSIKAL ditunggang mangsa yang terbabit kemalangan dengan kereta dan lori. FOTO Ihsan Polis.
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Penuntut Kolej Vokasional Arau, Perlis maut dalam kemalangan dengan dua kenderaan di Jalan Lencong Timur, di sini tengah malam tadi.

Mangsa yang berusia 17 tahun dari Aman Jaya di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kemalangan pada 12.45 tengah malam itu membabitkan motosikal Honda RS ditunggang mangsa dengan Toyota Vios dipandu lelaki berusia 25 tahun dan sebuah lori UD.

Katanya, semua kenderaan dari arah Taman Batik menghala Bukit Banyan.

"Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori dipandu lelaki 36 tahun keluar dari lorong sebelah kiri bahu jalan dan masuk ke jalan utama yang terdapat dua lorong.

"Ketika itu, datang motosikal mangsa dari belakang dan tidak sempat mengelak lalu terlanggar belakang lori berkenaan dan kereta Toyota Vios yang datang kemudiannya, gagal mengelak serta terlanggar motosikal yang jatuh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaidy berkata, akibatnya penunggang motosikal maut dan mayatnya dibawa ke unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk ujian saringan Covid-19 dan dibedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Bagaimanapun pemandu kereta serta lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2023 @ 10:03 AM