KEADAAN kereta Proton Saga BLM yang bertembung dengan lori di Kilometer 4, Jalan Yong Peng-Muar dekat Parit Yaani. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN kereta Proton Saga BLM yang bertembung dengan lori di Kilometer 4, Jalan Yong Peng-Muar dekat Parit Yaani. FOTO Ihsan Bomba
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Seorang lelaki maut, manakala penumpang wanita parah apabila kereta Proton Saga BLM dinaiki bertembung dengan lori di Kilometer 4, Jalan Yong Peng-Muar dekat Parit Yaani, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, identiti kedua mangsa belum dikenal pasti namun dianggarkan berusia lingkungan 30-an hingga 40-an.

Katanya, dalam kejadian 3.30 petang itu, Proton Saga BLM berkenaan dalam perjalanan dari Batu Pahat ke Yong Peng.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa hilang kawalan sebelum masuk ke lorong bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori Nissan UD.

"Akibat perlanggaran itu, lelaki berusia 43 tahun yang juga pemandu meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penumpang wanita yang parah dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat untuk diberikan rawatan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ismail berkata, pemandu lori berusia 34 tahun dan kelindan berusia 43 tahun tidak mengalami kecederaan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Johor dalam kenyataannya berkata, bomba menggunakan peralatan khas mengeluarkan pemandu kereta yang tersepit sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Seramai enam anggota dan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng dihantar ke tempat kejadian. Operasi ditamatkan pada 4.22 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 11:56 PM