PENUNGGANG motosikal maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ihsan Polis
PENUNGGANG motosikal maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ihsan Polis
Yusmizal Dolah Aling


Petaling Jaya: Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan maut membabitkan tiga kenderaan di Lebuhraya Persekutuan, hari ini supaya tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerima laporan mengenai kemalangan membabitkan motosikal Modenas Kriss, Toyota Vios dan Perodua Bezza.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di Lebuhraya Persekutuan menghala Kuala Lumpur pada 5.10 petang.

"Mangsa iaitu penunggang motosikal menuju ke Kuala Lumpur terlanggar bahagian kiri Toyota Vios yang dipercayai bertukar laluan dari lorong paling kanan ke lorong kiri.

"Ia menyebabkan mangsa tercampak ke lorong kiri jalan. Pada masa sama kereta Perodua Bezza tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa yang terbaring di atas jalan.

"Mangsa iaitu warganegara tempatan berumur 40 tahun disahkan maut di tempat kejadian," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa sesiapa yang melihat atau berada di tempat kejadian supaya tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Hafeez Faesal A Aziz di talian 011-32311232 bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 11:21 PM