MOHD SAFWAN menunjukkan kesan dipercayai tapak kaki harimau. FOTO Rosli Ilham
MOHD SAFWAN menunjukkan kesan dipercayai tapak kaki harimau. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Chukai: "Sejak empat tahun menternak lembu di sini, ini adalah kejadian pertama," kata Ramli Mohamad selepas seekor daripada 25 lembu peliharaannya ditemukan mati dipercayai dibaham harimau.

Ramli 65, dari Kampung Chabang Kerteh, di sini, berkata, dia menyedari lembunya itu hilang ketika hendak memberi makan ternakannya itu, kira-kira 3 petang, Jumaat lalu.

"Saya dan menantu, Mohd Safwan Mat Pilus, 35, kemudiannya mencari di sekitar kawasan kebun sebelum menemui bangkai lembu berusia tiga tahun itu di kawasan, tidak jauh dari kandang.

"Badan dan kepala lembu saya itu terpisah dan ketika pemeriksaan, saya dapati ada kesan gigitan di bahagian leher lembu.

"Kami turut menemui tapak kaki harimau di sekitar kawasan itu," katanya.

Menurutnya, dia sangat pelik sepanjang empat tahun menternak lembu di situ, itu adalah kejadian pertama seumpamanya.

"Sebelum ini, saya tak pernah dengar ada lembu peliharaan penduduk lain menjadi mangsa dan ini membimbangkan kami semua, "katanya.

Mohd Safwan pula berkata, dia kini sangat bimbang untuk ke kandang memberi makan ternakan lembu bapa mentuanya itu.

"Saya biasa bersendirian masuk memberi makan ternakan ayah dan apabila kejadian itu berlaku, saya sudah mula takut ke pergi bersendirian.

"Saya pun pelik, harimau ini boleh masuk ke sini sedangkan hutan tebal terletak jauh dari kandang ini," katanya.

Katanya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan)

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Menurutnya, pihaknya sudah melakukan siasatan dan pemantauan di situ, sambil berharap kepada penternak berwaspada.

"Kita berharap orang ramai menjauhi kawasan itu serta tidak mengganggu sekiranya terserempak dengan harimau, sebaliknya segera menghubungi pihak kami, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 8:26 AM