BANGKAI lembu betina yang ditemukan penduduk. Gambar kiri, kesan tapak kaki harimau yang ditemukan berdekatan lokasi kejadian. FOTO Ihsan Penduduk
BANGKAI lembu betina yang ditemukan penduduk. Gambar kiri, kesan tapak kaki harimau yang ditemukan berdekatan lokasi kejadian. FOTO Ihsan Penduduk
Ahmad Rabiul Zulkifli


Setiu: Penduduk Kampung Merbau Menyusut, Langkap dan Langkap Baru kian gusar apabila seekor lagi bangkai lembu dipercayai dibaham harimau ditemukan di Kampung Kasar, di sini, hari ini.

Lembu betina itu ditemukan berulat serta dihurung lalat di dalam semak selain mempunyai kesan gigitan harimau pada bahagian belakang.

Sehingga kini, didakwa lebih 10 bangkai lembu ditemukan dalam keadaan sama oleh penduduk di tiga kampung berdekatan itu.

Penduduk, Azmi Chit Adziz@Che Aziz, 47, berkata, sebanyak tiga bangkai lembu ditemukan dipercayai dibaham harimau di Kampung Kasar sejak beberapa bulan lalu.

"Terbaru, bangkai lembu betina itu ditemukan saya ketika dalam perjalanan ke kebun pada 5 petang tadi.

"Saya terkejut apabila melihat bangkai lembu dibaham harimau itu, sangat mengerikan dan lembu itu memang sah mati dibaham harimau kerana terdapat kesan gigitan pada bahagian belakang lembu itu selain kesan tapak harimau berdekatan tempat kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dia sudah menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi memaklumkan kejadian itu untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Langkap Shamsudin Muhamad berkata, Perhilitan sebelum ini sudah datang meninjau kawasan kampung dan melihat bangkai lembu yang ditemukan.

Menurutnya, dia mewakili penduduk kampung berharap Perhilitan mengambil tindakan segera memandangkan kejadian yang berlaku itu serius dan boleh mengancam keselamatan penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2023 @ 9:30 PM