Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Tidak hanya diserbu warga kota malah Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini, turut dipenuhi pengunjung dari seluruh negara bagi membeli persiapan hari raya.

Tinjauan Harian Metro tengah hari semalam mendapati Jalan TAR dipenuhi ribuan pengunjung yang mahu mendapatkan kelengkapan Aidilfitri.

Salah seorang pengunjung, Norain Mohd Yusof, 31, berkata, dia dan suami Mohd Danial Salleh, 32, sanggup menempuhi perjalanan sejauh lebih 300 kilometer dari Taman Tun Sardon, Gelugor, Pulau Pinang ke Jalan TAR di sini.

Menurutnya, dia teruja dengan kemeriahan membuat persiapan raya tahun ini.

"Kami turut membawa tiga anak, Mohd Aidan, tiga tahun, Nurdania Alesha, enam tahun, Nur Diana Aqilah, tujuh tahun untuk membeli belah.

"Kami mendaftar masuk hotel di sekitar Jalan TAR pagi semalam (kelmarin) untuk memudahkan urusan beli belah.

"Setiap tahun ( pada Ramadan) kami akan ke Jalan TAR untuk membeli belah berikutan lebih banyak pilihan di sini. Anak-anak seronok berjalan di sini walaupun penat," katanya ketika ditemui di Bazar Aidilfitri KL @ Lorong TAR, di sini, semalam.

Sementara itu, eksekutif teknologi maklumat, Najib Ab Hamid, 38, berkata, dia membawa isteri Nur Amirah Mohd Kamal, 38, dan tiga anaknya mencari baju raya di Jalan TAR semalam.

"Alhamdulillah banyak pilihan yang cantik-cantik boleh ditemui. Harga di sini masih berpatutan dan memenuhi citarasa," katanya.

NORAIN (kanan) membeli baju raya anaknya pada tinjauan di Bazar Aidilfitri KL @ Lorong TAR. FOTO Aswadi Alias
NORAIN (kanan) membeli baju raya anaknya pada tinjauan di Bazar Aidilfitri KL @ Lorong TAR. FOTO Aswadi Alias

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 3:58 PM