KESESAKAN orang ramai bukan sesuatu yang luar biasa di Jalan TAR.
KESESAKAN orang ramai bukan sesuatu yang luar biasa di Jalan TAR.
Hafiz Ithnin

Lagu raya dipasang, kadangkala bersulam dengan suara penjual melaungkan harga terbaik untuk menarik perhatian pengunjung yang bertali arus melalui kawasan itu.

Bukan setakat itu, deretan kenderaan dari segenap pelosok berpusu-pusu dan ada yang sanggup meredah kesesakan semata-mata untuk merasai pengalaman membeli-belah.

Semuanya begitu dekat dengan Jalan Tuanku Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Jalan TAR. Malah, ia bukan sesuatu yang asing dengan kemeriahan bazar tersedia untuk pengunjung tempatan dan asing.

Ia juga boleh dikatakan sebagai salah satu destinasi ikonik apabila tiba saja musim perayaan kerana suasananya memberi ‘jiwa’ kepada orang ramai untuk terus menghitung hari menyambut Aidilfitri.

Gerai kecil yang dimiliki usahawan dari pelbagai negeri di Malaysia membentuk bazar sepanjang jalan itu tidak pernah lokek untuk menawarkan pelbagai jenis barangan keperluan untuk menyambut Aidilfitri.

Sebut saja apa jenis keperluan yang diinginkan pengunjung, dalam kata lain dari hujung rambut hingga hujung kaki semuanya boleh didapati di bazar Jalan TAR. Ini kerana setiap peniaga berlumba-lumba menawarkan barangan jualan terbaik kepada pengunjung.

Kemeriahan Jalan TAR bukan saja menjadi buah mulut warga kota khasnya namun ia sering kali menjadi salah satu destinasi wajib dikunjungi pelancong asing ketika Ramadan untuk melihat sendiri persiapan masyarakat tempatan membeli keperluan menyambut Aidilfitri di Malaysia.

Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Anwar Mohd Zain berkata, Jalan TAR juga dikenali sebagai lubuk perniagaan usahawan kecil yang datang dari pelbagai negeri terutama ketika Ramadan hingga malam 1 Syawal.

Beliau berkata, pihaknya menganggarkan lebih 1,000 gerai yang menjual pelbagai jenis barangan di bazar sepanjang jalan itu. Di lorong Tuanku Abdul Rahman saja terdapat 400 peniaga kecil yang berdaftar dengan DBKL.

PELBAGAI jenis makanan tempatan dijual di Jalan TAR.
PELBAGAI jenis makanan tempatan dijual di Jalan TAR.

“Jika di lorong itu saja terdapat lebih 400 peniaga kecil, kita jangkakan jumlah peniaga di Jalan TAR lebih daripada 1,000 kerana gerai perniagaan yang membentuk bazar hingga Jalan Chow Kit terlalu panjang.

“Malah, ia bukan saja menjadi salah satu destinasi yang sering dikunjungi orang ramai ketika persiapan sambutan Aidilfitri disebabkan harga ditawarkan berpatutan. Lebih meriah apabila peniaga dilihat berusaha keras memenangi hati pelanggan,” katanya.

Lebih menarik, pada malam akhir Ramadan ramai peniaga bersaing untuk menawarkan harga terbaik kepada pengunjung.

Malah, tidak hairan apabila kelengkapan raya seperti pakaian dan kuih raya dijual pada harga promosi hingga 70 peratus kepada orang ramai dan pada waktu itu juga orang ramai yang ingin membeli-belah di saat akhir hingga sanggup bersesak atau berpusu-pusu ke jalan berkenaan.

Ketika itu juga boleh dilihat keadaan trafik menuju Jalan TAR dikatakan agak mencabar dan tidak pelik jika ada antara pengunjung yang sanggup menyewa hotel di sekitarnya untuk memastikan mereka dapat membeli-belah tanpa perlu memikirkan soal tempat meletakkan kenderaan.

Anwar berkata, memandangkan Jalan TAR menjadi tumpuan warga kota khasnya ketika Ramadan, pihak DBKL sentiasa memastikan keselamatan dan keadaan sekeliling terkawal terutama untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Katanya, terdapat juga pihak berkuasa seperti polis mengawal kawasan berkenaan bagi memastikan pengunjung berada dalam keadaan selamat dan mengurangkan risiko jenayah.

“Bagaimanapun, pengunjung sendiri perlu mengambil langkah bagi membantu keadaan trafik dalam keadaan baik seperti tidak meletakkan kenderaan peribadi yang menghalang laluan lalu lintas.

“Kita setiap tahun ingin melihat orang ramai yang datang ke Jalan TAR dalam bergerak dalam keadaan selesa kerana ia bukan saja menjadi tumpuan rakyat tempatan malah pelancong asing,” katanya.

GELAGAT penjual menawarkan produk jualan.
GELAGAT penjual menawarkan produk jualan.

Aktiviti jualan bazar di Jalan TAR juga dilihat sebagai sesuatu yang baik kepada pembangunan ekonomi tempatan kerana ia membantu usahawan kecil khasnya mendapatkan keuntungan dalam perniagaan.

Pernah juga penulis dengar, ada peniaga bazar itu ketika Ramadan memperoleh untung bersih menyamai keuntungan setahun perniagaan.

Maka, tidak hairan mengapa ketika Ramadan, petak perniagaan di Jalan TAR begitu laris kerana mendapat permintaan tinggi daripada usahawan yang ingin mencuba nasib.

Tidak ketinggalan, Jalan TAR yang dikelilingi premis perniagaan lain turut membantu merancakkan suasananya ditambah dengan tawaran harga menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Jun 2018 @ 12:56 PM