Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kebenaran membuka kembali Bazar Aidilfitri Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR), di sini, selepas tahun lalu tidak dibenarkan beroperasi disambut rasa lega peniaga dan pelanggan.

Malah tinjauan Harian Metro mendapati rata-rata pelanggan dan peniaga mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa.

Tinjauan turut mendapati kawasan tradisi menjadi tumpuan aktiviti perniagaan setiap kali musim perayaan itu dikawal ketat pihak berkuasa.

Kelibat anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis selalu kelihatan di antara celah pengunjung memantau SOP.

Malah, bagi memastikan penjarakan fizikal terjaga, sistem pemberian kad nombor pengunjung juga dilaksanakan.

Penjual kuih raya, Mohd Zaiddey Mohd Noor, 47, berkata, kedatangan pengunjung masih belum ramai untuk pembukaan hari ini.

"Alhamdulillah dah boleh berniaga. Namun mungkin dengan pelaksanaan SOP ini agak membataskan pengunjung yang ingin datang.

"Dulu orang boleh datang ramai berpusu-pusu. Sekeluarga besar boleh masuk. Sekarang mungkin ayah, ibu dan anak seorang sahaja yang boleh masuk," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Malah, katanya, kedudukan gerai juga mempunyai penjarakan fizikal.

Bagi peniaga baju kurung, Nur Asma Zulkifli, 24, pula selain SOP mungkin faktor hujan juga menyebabkan pengunjung berkurangan.

"Lega boleh mula buka gerai jualan mula 10 pagi hingga 12 tengah malam. Cuma setakat petang ini (jam 6 petang) belum ada lagi jualan.

"SOP ketat. Pelanggan sekali masuk dibenarkan dua orang, peniaga pun dua orang dalam satu masa," katanya.

Beliau berdoa mengharapkan hari seterusnya Ramadan ini hingga menjelang Syawal pengunjung akan mula ramai membuat pembelian.

Bagi Shadan Hamid, 30, pula dia lebih suka keadaan sekarang dapat membeli baju raya untuk anaknya Arryan Noah, 3, dengan tenang.

"SOP terjaga dengan baik terutamanya dengan ada kawalan pihak berkuasa. Saya memang suka beli awal persiapan hari raya sebab tak mahu serabut. Lagipun barangan di sini murah serta berkualiti," kata kakitangan awam itu.

DBKL dalam kenyataan sebelum ini mengingatkan penganjur, peniaga, pekerja serta pengunjung bazar, untuk mematuhi segala peraturan, syarat dan SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mana-mana individu atau penganjur yang melanggar peraturan atau SOP ditetapkan bagi mencegah penularan Covid-19 akan berdepan kompaun sehingga maksimum RM10,000 terhadap individu dan RM50,000 kepada penganjur.

Manakala, tindakan penutupan gerai /Bazar Ramadan/Bazar Aidilfitri boleh dilaksanakan DBKL.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 6:56 PM
Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan DBKL, Khairul Anuar Mhd Juri memeriksa lesen peniaga yang berniaga di Bazar Ramadan di Lorong Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD
Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan DBKL, Khairul Anuar Mhd Juri memeriksa lesen peniaga yang berniaga di Bazar Ramadan di Lorong Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD