Pengunjung, Raja Azrul Hisham Raja Huradin, Nur Ain Imran membantu menyarungkan baju anaknya, Raja Izzaril Asyraf (dua kiri) dan Raja Izza Ummaira di Pasar Lorong Tuanku Abdul Rahman. FOTO AZIAH AZMEE
Pengunjung, Raja Azrul Hisham Raja Huradin, Nur Ain Imran membantu menyarungkan baju anaknya, Raja Izzaril Asyraf (dua kiri) dan Raja Izza Ummaira di Pasar Lorong Tuanku Abdul Rahman. FOTO AZIAH AZMEE
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Pembukaan bazar Aidilfitri di Lorong Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, hari ini, nyata mampu menarik kunjungan ramai.

Lokasi yang menjadi tumpuan ramai untuk membuat persiapan ketika musim perayaan di tengah ibu kota itu dilihat mula dipenuhi pengunjung sejak jam 10 pagi.

Malah, tinjauan wartawan mendapati, beberapa premis menjual pakaian atau baju raya dipenuhi pengunjung pada hari pertama ia dibuka.

Lebih menarik, pemerhatian wartawan mendapati, kebanyakan peniaga masih menjual barang jualan mereka pada harga berpatutan.

Peniaga pakaian, Ayu Putri Iliyas Amiruddin, 20, berkata, harga baju melayu yang dijual di premis mereka tidak ada perubahan dan kekal seperti sebelum ini.

"Ada yang membeli sehelai baju dan juga ada pengunjung yang datang bersama keluarga, mereka beli sekali untuk keluarga.

"Pengunjung boleh mendapatkan baju melayu di premis kami dengan harga serendah RM45 sekali dengan samping," katanya, ketika ditemui di sini, hari ini.

Bagi peniaga songkok, Safwandiniefaiz Bahri, 26, berkata dia juga mengekalkan harga jualan songkok.

"Dari segi harga masih sama sebelum ini, kami tidak naikkan harga walaupun sudah lama tak berniaga," katanya.

Menurutnya, sambutan di premisnya kurang mendapat sambutan kerana pertengahan bulan dan menjangkakan peningkatan dalam tempoh seminggu sebelum menyambut Aidilfitri.

Peniaga telekung, Fauzi Affendi, 25, pula berkata, pengunjung boleh mendapatkan telekung dewasa serendah RM20 sahaja.

"Ada pengunjung yang datang beli untuk diri sendiri dan ada yang membeli untuk anak-anak sekali.

"Harga masih sama walaupun kita berada dalam situasi pandemik Covid-19, kami masih mengekalkan harga," katanya.

Sementara itu, kakitangan swasta, Raja Azrul Hisham Raja Huradin datang bersama ahli keluarganya membeli belah di kawasan berkenaan.

Katanya, hasil pemerhatiannya kebanyakan peniaga mengekalkan harga sama namun ada juga yang dilihat menaikkan harga.

"Bagi prosedur operasi standard (SOP) pula saya rasa terkawal dan kita dapat lihat banyak kawalan," katanya.

Seorang lagi pengunjung, Zarina Aina Zaharul Abidin, 44, berkata, tiada perbezaan harga didapati di pasar Jalan TAR dibandingkan dengan harga jualan dalam taliaan.

Menurutnya, harga kebanyakan barangan jualan masih sama dan mungkin akan dijual lebih murah pada malam Aidilfitri.

Pemerhatian wartawan mendapati, dalam kemeriahan pengunjung mendapatkan barangan mereka masih patuh kepada SOP ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 4:57 PM