barangan yang ditawarkan dengan harga murah menyebabkan Jalan TAR jadi tumpuan.
barangan yang ditawarkan dengan harga murah menyebabkan Jalan TAR jadi tumpuan.
 ORANG ramai mengambil peluang membeli barangan persiapan  menjelang Aidilfitri di Jalan TAR, semalam.
ORANG ramai mengambil peluang membeli barangan persiapan menjelang Aidilfitri di Jalan TAR, semalam.
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Walaupun terpaksa bersesak selama berjam-jam namun Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), tetap menjadi tumpuan warga kota untuk membeli-belah terutamanya sempena Aidilfitri yang akan disambut dua minggu lagi.

Keadaan sesak serta hiruk pikuk di tengah-tengah bandar raya serta suasana Ramadan tidak sedikit pun merencatkan perancangan warga kota untuk membeli persiapan raya.

Saban tahun, lokasi tumpuan umum adalah Jalan TAR yang menyediakan pelbagai gedung pakaian daripada bermacam jenis fesyen termasuk beraneka kuih raya dengan tawaran harga yang berpatutan.

Tinjauan Harian Metro mendapati, orang ramai tidak melepaskan peluang cuti pada hujung minggu untuk membeli persiapan Aidilfitri.

Tawaran harga baju serendah RM50 sepasang sehingga menjangkau ratusan ringgit dijual di lokasi berkenaan yang disifatkan sebagai ‘syurga’ beli-belah sepanjang Ramadan ini.

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Wilayah Persekutuan (1Malaysia) Datuk Rosli Sulaiman berkata, tapak perniagaan di Masjid India dan Lorong TAR sememangnya menjadi lokasi tarikan orang awam.

“Bagi dua lokasi itu, sebanyak 372 lot perniagaan ditawarkan. Untuk Lorong TAR, sebanyak 150 lot disediakan manakala Jalan Masjid India 222 lot,” katanya.

Rosli berkata, pelaksanaan projek menaik taraf itu memperlihatkan penurunan tawaran lot bazar Ramadan namun lokasi itu masih menjadi tumpuan orang ramai.

Sementara itu, kakitangan swasta, Arni Sofia Arshad, 30, berkata, rata-rata warga kota akan keluar membeli-belah apabila memasuki minggu kedua Ramadan.

“Saya hanya ada minggu ini saja untuk membeli persiapan lebaran berikutan pada minggu depan, saya sudah pulang ke kampung halaman.

“Begitu juga dengan warga kota lain. Hanya cuti hujung minggu ini saja yang ada, jika minggu depan, warga kota akan mula beransur pulang ke destinasi masing-masing.

“Selain itu, ini juga persiapan awal. Saya tidak suka membeli-belah pada saat akhir, memang diskaun lebih banyak, tetapi tidak banyak pilihan ketika itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2017 @ 9:46 AM